Friday, January 11, 2013
Lori tangki terjun Sungai Machap
11 Januari 2013
Batu Pahat: Seorang pemandu lori tangki terselamat dan hanya cedera ringan di tangan selepas kenderaan berat terbabit terbalik sebelum terjunam ke dalam Sungai Machap sedalam empat meter di Jalan Ayer Hitam-Simpang Renggam di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu, V Paiduthalli, 62, diberikan rawatan pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Paiduthalli berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kulaijaya selepas menghantar bahan kimia untuk pembinaan jalan di Kuala Lumpur.
“Ketika melalui kawasan itu, tayar belakang sebelah kiri tiba-tiba tergelincir dan saya terus menekan brek kecemasan.
“Akibatnya, saya gagal mengawal lori tangki menyebabkan ia terbalik dan melanggar penghadang jalan sebelum terjunam ke dalam sungai,” katanya.
Menceritakan detik cemas itu, Paiduthalli berkata, dia terperangkap di dalam lori dan gagal keluar apabila pintu di bahagian pemandu serta penumpang terkunci.
“Ketika itu, air mula memenuhi kabin lori, saya terus memecahkan cermin depan untuk keluar. Penduduk kampung kemudian menghantar saya ke hospital,” katanya.
Menurut Paiduthalli, dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan teruk dan masih diberi peluang untuk hidup.
“Ini nyawa kedua saya, kali ini saya bernasib baik. Kemalangan ini juga adalah peringatan kepada saya supaya lebih berhati-hati ketika memandu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
“Mangsa cedera ringan dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Loritangki__8216_terjun__8217_sungai//Article/index_html
No comments:
Post a Comment