Sunday, October 28, 2012
8 beranak derma organ
28 Oktober 2012
CHENOR - Di sebalik rasa bersalah gara-gara melanggar tanpa sengaja sehingga mengakibatkan seorang remaja berusia 17 tahun maut, seorang suri rumah tidak menyangka insiden itu memberi hikmah kepadanya sekeluarga apabila kini mereka lapan beranak menjadi pengikrar derma organ.
Noriyasimah Ismail, 37, berkata, dia sekeluarga terbuka hati berbuat demikian selepas mengetahui mangsa adalah seorang penderma organ, namun hanya sepasang mata berjaya didermakan memandangkan organ lain rosak akibat kemalangan itu.
Menurutnya, lebih memeranjatkan, keluarga mangsa seramai sembilan orang turut berikrar sebagai penderma organ.
“Pada mulanya saya tidak ambil kisah mengenai derma organ ini kerana fikiran masih bercelaru akibat kemalangan tersebut.
“Saya rasa sangat bersalah kerana melanggar seorang remaja hingga menyebabkannya maut. Hati siapa akan tenang bila berhadapan situasi itu, saya tidak senang duduk sepanjang hari memikirkan apa yang telah berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
Noriyasimah berkata, pada malam kejadian, perasaan takut dan bersalah menghantui dirinya apabila didatangi keluarga mangsa di rumahnya di Kampung Sekara, dekat sini, kira-kira jam 11 malam.
Menurutnya, walaupun kemalangan berlaku tanpa disengajakan, namun pelbagai tanggapan bermain di fikirannya, selain bimbang diherdik keluarga mangsa.
“Tapi sebaliknya yang terjadi, keluarga mangsa datang pada malam itu selepas mengetahui saya tidak dapat ke rumah mereka kerana tidak mempunyai kenderaan selepas kereta saya masih berada di balai polis.
“Mereka pula yang bimbangkan keadaan saya dan ketika itu saya mengetahui lanjut mengenai derma organ ini yang bertujuan membantu mereka yang memerlukan walaupun kita sudah meninggal dunia,” katanya.
Terdahulu, kemalangan yang berlaku pada 9 Ogos 2012, kira-kira jam 7 pagi berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Ampuan Afzan Chenor, mengorbankan Lukmanul Hakim yang ketika itu dalam perjalanan ke sekolah.
Mangsa dilanggar tanpa sengaja selepas motosikal dibonceng bersama seorang rakan dipercayai terbabas akibat bergesel dengan sebuah motosikal lain sebelum terjatuh memasuki laluan bertentangan.
Kurang pemahaman punca takut menderma
Suami Noriyasimah yang bekerja sebagai pemandu lori, Mohammad Abdul Basit, 38, berkata, walaupun sedih dengan insiden berkenaan, dia bersyukur kerana ada hikmah di sebaliknya sehingga dibuka minda dan hati untuk menjadi penderma organ.
Menurutnya, derma organ bukan isu baru kerana sudah lama diperkatakan umum, tetapi kurang pengetahuan dan pemahaman menyebabkan ia begitu asing terutama bagi penduduk luar bandar.
“Orang Islam masih beranggapan individu yang menderma organ seolah-olah tidak sempurna jasadnya ketika dikebumikan kelak.
“Namun sebenarnya Islam tidak melarang proses pendermaan organ kerana ia sesuatu amalan yang mulia dan satu lagi bentuk kebajikan. Majlis Fatwa Kebangsaan juga memutuskan pemindahan organ kepada orang hidup hukumnya harus,” katanya.
Mohammad berharap, tindakannya bersama keluarga akan menjadi amal jariah terakhir membantu pesakit memerlukan yang menderita lama menunggu organ baru.
Enam anaknya yang berikrar sebagai penderma organ ialah Nurul Hidayah, 15, Mohd Taufiq, 13, Nurul A’idah, 12, Mohd Aiman Syafiq, 9, Mohd Fairuz, 8, dan Nurul Fatihah, 5.
Bapa syukur hajat dua anak termakbul
Sementara itu, bapa mangsa, Ruslan Awang, 53, berkata, dia sembilan beranak berikrar sebagai penderma organ sejak 1992 dengan dua anaknya sudah menunaikan hajat tersebut.
Menurutnya, anak sulungnya, Mohamad Rasyidin meninggal dunia ketika berusia 18 tahun akibat kemalangan pada Oktober 2007.
“Kini anak keempat (mangsa) pula mengikuti pemergian abang sulungnya, namun saya bersyukur hajat mereka untuk mendermakan organ dimakbulkan ALLAH SWT.
“Tambah menggembirakan, orang yang melanggar anak saya tanpa sengaja itu juga menjadi penderma organ bersama ahli keluarga lain. Insiden yang berlaku tidak memutuskan persaudaraan kami, malah hubungan dua keluarga ini sangat baik dan saling menganggap seperti ahli keluarga sendiri,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/kemalangan-itu-buka-hati-kami-1.98276
No comments:
Post a Comment