Sunday, August 12, 2012
Tidak sempat meraikan Aidilfitri
Inalillahi wainailaihi rojiun
KEMAMAN – Dua remaja tidak sempat meraikan ketibaan Aidilfitri yang bakal menjelang seminggu lagi apabila terbunuh dalam dua kemalangan berasingan termasuk membabitkan kemalangan ngeri hingga mengakibatkan badan seorang mangsa yang maut hancur digilis lori kontena dalam kejadian di daerah ini kelmarin.
Dalam kemalangan tragis di Kilometer 123 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhadapan tapak pasar malam Pekan Kemasik, dekat sini, kira-kira jam 9.25 malam, Mohd Noor Ghazali, 22, maut serta-merta di tempat kejadian selepas dia dan motosikal jenis Yamaha LC yang ditungganginya terbalik atas jalan sebelum dilanggar lori kontena yang turut melalui jalan itu menghala ke arah sama.
Kejadian berlaku ketika mangsa yang beralamat di Kampung Bukit Kuang dari arah Kerteh menuju ke Bandar Chukai sebelum motosikalnya itu bergesel dengan seorang pejalan kaki ketika tiba di tempat kejadian menyebabkan mangsa jatuh.
Menurut saksi kejadian, Mohd Firdaus Abd Rashid, 22, dia yang memandu kereta di belakang lori kontena tergamam apabila melihat mayat tergolek di atas jalan selepas terdengar seperti lori kontena melanggar sesuatu.
“Selepas bunyi berdentum, saya yang memandu di belakang treler kontena nampak mayat bergolek atas jalan dan saya elak. Mangsa patah riuk,” katanya sambil mengakui sejurus itu terdapat seorang orang awam yang bertindak menahan kenderaan daripada melalui tempat kejadian agar tidak terus melanggar mangsa.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, mangsa mengalami cedera parah di bahagian badan.
Pemandu lori berkenaan yang berusia 38 tahun dari Temerloh, Pahang, ditahan untuk siasatan manakala pejalan kaki berkenaan tidak mengalami kecederaan.
Akibat insiden itu, motosikal yang dinaiki mangsa turut diseret lori terbabit sejauh kira-kira 200 meter dan terperosok di bawah tayar depan sebelah kanan lori berkenaan.
Sementara itu, dalam satu lagi kejadian kira-kira jam 5 petang sebelum itu, Mohd Hanif Aizam Harun, 15, meninggal dunia di Hospital Kemaman setelah terbabas dan terjatuh daripada motosikal yang ditungganginya di Jalan Pantai Kampung Beris Meraga, Kijal dekat sini.
Menurut Che Suza, mangsa yang mengalami cedera parah di kepala dan badan menghembuskan nafas akhir kira-kira jam 10 pagi semalam.
Dalam perkembangan sama, ibu mangsa, Zaleha Ismail, 59, berkata, anaknya sering ke pantai berkenaan sementara menunggu waktu berbuka puasa.
“Saya sangat terkejut apabila dapat tahu berita kematian ini dan saya juga terkilan atas apa yang berlaku kerana semua persiapan raya untuk anak saya telah disiapkan. Malah anak saya sering mencuba sepasang baju Melayu dan kemeja-T yang dibeli untuk dipakai pada hari raya nanti,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/tidak-sempat-rai-aidilfitri-2-remaja-maut-1.76023
No comments:
Post a Comment