Tuesday, August 14, 2012
Terjunam gaung 60 kaki
15 Ogos 2012
REMBAU – Dua maut dalam dua kemalangan di dua lokasi berasingan, di sini, malam kelmarin.
Jurucakap polis berkata, kejadian pertama kira-kira jam 7.15 malam membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Altis, di Kilometer 232.9, Lebuhraya Utara Selatan (arah Utara) yang terbabas ke kiri jalan lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 60 kaki.
Menurutnya, dalam kejadian berkenaan, S. Lekshmy, 64, dari Taman Abad, Johor Bahru maut di tempat kejadian, manakala dua lagi iaitu seorang anak dan menantunya, N. Esvaran, 31, dan M. Sharmala, 27, cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.
“Kedua-dua mangsa iaitu pasangan suami isteri kini masih di HTJ bagi rawatan lanjut susulan kecederaan parah yang dialami. Manakala, mangsa yang maut merupakan warganegara Singapura dihantar ke Hospital Tampin (HT) bagi bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, anak mangsa, Sonia, 36, berkata, dia dan ibunya tinggal serumah dan kali terakhir mereka berjumpa sekitar jam 3 petang pada hari sama.
“Masa itu ibu dengan gembiranya memberitahu saya ‘I’m going to holiday...a long holiday...’. Saya hanya mendengarnya dan tidak beranggapan buruk kerana ibu ingin melawat abangnya di Klang, Selangor.
Abang sulong mangsa, S. Milevaganan, 68, berkata, dipercayai, ketika kejadian, mangsa sedang menuju ke rumahnya memandangkan mangsa sudah hampir 34 tahun tidak datang menjenguknya di Klang, Selangor.
“Sebelum ini, adik pernah memberitahu seorang ahli keluarga yang lain untuk menjenguk saya, namun, saya sebenarnya tidak mengetahui mangsa sedang menuju ke rumah saya pada hari kejadian.
Dalam pada itu, dalam kejadian kemalangan kedua membabitkan penunggang serta pembonceng motosikal jenis Honda EX5 dan sebuah lori di kilometer 15, Jalan Tampin-Seremban, berdekatan Pedas.
“Dalam kejadian kira-kira 9.40 malam itu, penunggang motosikal, Mohd Fakrul Anuar Zaharudin, 18, berasal dari Rantau mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke HTJ bagi rawatan lanjut.
“Mangsa disahkan meninggal di HTJ kira-kira jam 12.20 tengah malam. Manakala, pembonceng motosikal yang mengalami kecederaan ringan di bawa ke Klinik Kesihatan Rembau dan dirawat sebagai pesakit luar.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/ibu-mahu-bercuti-panjang-1.76771
No comments:
Post a Comment