Tuesday, August 14, 2012
Putus Dua
15 Ogos 2012
KULIM - Seorang lelaki berusia 30an cedera parah di bahagian muka dan badan apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Proton Saga kira-kira jam 7.10 petang, kelmarin.
Ketua Trafik Kulim, Asisten Superintendan Ismail Ayob berkata, mangsa yang datang dari arah Taman Cengal menuju ke lampu isyarat Taman Selasih dipercayai dalam perjalanan balik ke rumah, manakala kenderaan yang merempuhnya datang dari arah Taman Selasih menuju ke Taman Lembah Impiana.
Menurutnya, akibat rempuhan kuat itu, motosikal mangsa putus dua dan mangsa terhumban kira-kira dua meter sebelum dipindahkan oleh orang ramai yang berada di tempat kejadian.
"Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Saya menasihatkan semua pemandu yang menggunakan Jalan Perusahaan supaya lebih berhati-hati dan mengurangkan kelajuan mereka apabila menuruni bukit di Taman Lembah Impiana.
"Ini kerana kemalangan sering dilaporkan berlaku di situ. Masalah ini berlaku apabila kenderaan yang datang dari arah Taman Selasih dan ingin membelok ke Taman Lembah Impiana tidak melihat kenderaan yang datang dari arah bertentangan,” katanya.
Penduduk, Norizzal Mat Saad berkata, pihak berkuasa seharusnya memikirkan cara terbaik untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya terutama di simpang masuk ke Taman Lembah Impiana lebih terjamin.
Menurutnya, sehingga kini beberapa kemalangan berlaku sehingga mengakibatkan mangsa mengalami cedera parah. Selain itu simpang itu juga akan menjadi lebih sibuk apabila waktu puncak yang mana ia banyak digunakan pelajar sekolah.
“Saya faham sukar bagi Majlis Perbandaran Kulim Kedah untuk menyediakan lampu isyarat kerana terdapat lampu isyarat di persimpangan Taman Selasih dan simpang masuk ke pasaraya Tesco.
"Bagaimanapun masalah ini harus ditangani kerana setiap minggu pastinya akan berlaku kemalangan, " katanya.
Menurutnya, antara punca berlakunya kemalangan di kawasan itu adalah disebabkan sikap pemandu yang sering memandu laju apabila menuruni bukit berhampiran Taman Lembah Impiana.
"Selain itu, pengguna jalan raya dari arah Taman Selasih seharusnya memberi laluan kepada kenderaan yang melalui jalan lurus. Walau apa sahaja alasan atau cadangan yang kita buat, saya merasakan sikap pemandu harus lebih berhati-hati,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/motosikal-putus-dua-1.76752
No comments:
Post a Comment