Friday, August 24, 2012

2 kereta terjunam ke parit


24 Ogos 2012
 SUNGAI NIBONG – Hasrat sebuah keluarga untuk pulang ke rumah selepas menziarahi sanak saudara tidak kesampaian apabila mereka terlibat dalam kemalangan di KM59 Jalan Teluk Intan – Klang.

Dalam kejadian 4.30 petang, kelmarin itu, kereta Kia Optima yang dinaiki seorang lelaki bersama dua anak perempuannya dipercayai dihimpit sebuah kenderaan sebelum kedua-duanya terbabas dan menjunam masuk ke dalam parit berhampiran.

KetuaPolis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Noor Mushar Mohamad berkata, tiga sekeluarga itu dalam perjalanan pulang dari Klang menuju ke Sungai Besar sebelum dihimpit kereta Nissan yang cuba memotongnya.

"Pemandu kereta Kia Optima menekan brek kecemasan dan mengelak ke kiri jalan apabila kereta Nissan yang dipandu sendirian itu menghimpitnya.

"Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan itu bergesel sebelum hilang kawalan dan masuk ke dalam parit di tepi jalan berkenaan," katanya.

Menurutnya, kemalangan itu menyebabkan anak bongsu mangsa, berusia 13 tahun kini sedang mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam kerana mengalami kecederaan di bahagian badan.

"Manakala, kedua-dua pemandu berkenaan dan seorang seorang lagi penumpang cuma mengalami kecederaan ringan dan dibenarkan pulang ke rumah selepas menerima rawatann di hospital sama.

"Keterangan daripada kedua-dua pemandu berkenaan diambil bagi membantu siasatan dan tindakan tegas akan dikenakan sebaik siasatan selesai," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan mengamalkan pemanduan berhemah termasuk mematuhi had laju ditetapkan.

Menurutnya, jalan utama Kuala Selangor - Sabak Bernam telah dikenalpasti sebagai jalan panas yang banyak meragut nyawa.

Setiap pengguna bertanggungjawab berhati-hati dan tidak mementingkan diri sendiri memandangkan kes kemalangan dilihat meningkat sejak bermulanya cuti musim perayaan.

“Kita akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mengambil mudah aspek keselamatan di jalan raya dan melanggar had laju ditetapkan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa depan," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/tiga-sekeluarga-nyaris-maut-1.78609


No comments:

Post a Comment