Tuesday, June 19, 2012
Maut dikejar polis
Inalillahi wainailaihi rojiun
BUTTERWORTH - Seorang lelaki sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan memecut laju kenderaan bagi mengelak daripada ditahan selepas dikejar polis. Tindakan Ridzuan Rahim, 29, yang memandu kereta Proton Iswara itu bukan sahaja mengundang padah apabila dia maut dalam kejadian itu, malah rakannya yang turut bersamanya cedera parah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Bagan Jermal di sini, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias berkata, kejadian pada jam 7 petang itu bermula di Mak Mandin apabila Ridzuan bersama rakannya Ahmad Bajuri Razali, 21, dilihat berada dalam keadaan mencurigakan dalam kereta berkenaan oleh dua anggota unit peronda polis yang sedang bertugas.
“Sebaik dihampiri oleh anggota polis, Ridzuan memecut laju kereta dipandunya menghala ke Jalan Bagan Jermal sebelum terbabas dan merempuh sebatang tiang elektrik di kiri jalan. “Akibat rempuhan kuat, tiang elektrik itu patah manakala kereta dinaiki mereka remuk dan keduanya tersepit sebelum diberikan bantuan oleh sepasukan pegawai dan anggota bomba dari Balai Butterworth,” katanya.
Menurutnya, dua mangsa itu dihantar mendapatkan rawatan di Hospital Seberang Jaya dan Ridzuan yang cedera parah di beberapa bahagian badan termasuk kepala meninggal dunia kemudiannya. Ridzuan menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.50 pagi semalam selepas enam jam diberikan rawatan manakala Ahmad Bajuri kini berada dalam keadaan kritikal di hospital sama.
Zulkifli berkata, pihaknya masih tidak dapat mengklasifikasikan kejadian itu di bawah mana-mana seksyen kerana sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk menyemak rekod jenayah lampau dua lelaki terbabit.
“Siasatan awal terhadap kereta itu mendapati ia bukan kereta curi berdasarkan tiada laporan hilang diterima sebelum ini dan hasil siasatan turut mendapati Ridzuan tidak mempunyai lesen memandu. “Apa pun kita enggan membuat sebarang kenyataan kerana sedang menunggu Ahmad Bajuri sedar sepenuhnya dari rawatan untuk merakam keterangan kenapa melarikan diri dan tidak mengikut arahan polis apabila diarah berhenti untuk pemeriksaan,” katanya
Al-Fatihah
Sumber
sinarharian.com.my/edisi/utara/kemalangan-sanggup-pandu-laju-elak-ditahan-1.57987
No comments:
Post a Comment