Friday, March 9, 2012

Tragedi Pulang Dari Pasar Malam

Inalillahi wainailaihi rojiun

KUANTAN: “Saya mendengar arwah menjerit ‘Ya Allah’ sebelum kami berdua terpelanting ke permukaan jalan,” kata Amera Idayu Ghazali, 23, dari Sungai Karang, di sini, yang terbabit dalam kemalangan bersama seorang lagi rakannya, Nur Hazwani Hamzah, 23, di Kilometer 11, Jalan Kuantan-Kemaman, di Pantai Batu Hitam, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, Nur Hazwani dari Temerloh dan bekerja di sebuah kilang di Pelabuhan Kuantan, di sini, maut di tempat kejadian akibat cedera di beberapa bahagian tubuh manakala Amera Idayu yang membonceng, cedera di pinggang.


Difahamkan, kedua-dua sahabat karib itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli makanan di pasar malam Balok, di sini, sebelum motosikal ditunggang bertembung sebuah kereta yang membelok ke kanan.

Menceritakan tragedi itu, Amera Idayu berkata, dia sempat melihat arwah menahan kesakitan dan memegang tangannya sebelum mereka dihampiri seorang wanita yang mengajarnya mengucap dua kalimah syahadah.


“Ketika itu, saya tidak berdaya bangun kerana kesakitan di pinggang dan amat sedih selepas rakan baik saya pergi dalam sekelip mata saja.


“Beberapa jam selepas itu, saya baru teringat saya pernah bergurau jika bergambar bertiga, seorang daripadanya akan meninggal dan saya tidak menyangka kata-kata itu menjadi kenyataan.

“Ketika itu, arwah hanya ketawa dan menganggap kata-kata saya mengarut. Saya sendiri sebenarnya hanya bergurau saja,” katanya ketika ditemui sejurus dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).


Katanya, Nur Hazwani pernah menunjukkan berperangai pelik ketika keluar bersamanya pada cuti hujung minggu lalu apabila mengenakan kasut dan pakaian serba putih sedangkan dia tidak pernah berbuat demikian sebelum ini.

Amera Idayu berkata, akibat kemalangan itu, dia yang sepatutnya dijadualkan memulakan kerja baru di sebuah pasar raya semalam, menghubungi majikan barunya untuk mendapatkan kebenaran cuti kerana masih dibelenggu kesakitan di pinggangnya.


Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, siasatan mendapati motosikal ditunggang Nur Hazwani bertembung dengan kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki berusia 46 tahun yang membelok ke kanan untuk menghala ke Pantai Batu Hitam dari bandar ini.


Menurutnya, ketika kejadian kedua-dua mangsa tidak memakai topi keledar manakala permukaan jalan basah akibat hujan.


Katanya, polis sudah mengambil keterangan pemandu terbabit yang hadir membuat laporan di Balai Trafik Kuantan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


“Jenazah mangsa sudah dituntut keluarganya selepas bedah siasat selesai dijalankan sebelum dibawa pulang ke Temerloh,” katanya.

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Pergisekelipmata/Article/index_html

No comments:

Post a Comment