Thursday, March 8, 2012
Kereta Terjunam Jalan Mendap
KUALA LIPIS - Seorang lelaki warga Indonesia cedera parah, manakala dua rakannya cedera ringan apabila kereta jenis Perodua Kancil dinaiki mereka terjunam ke dalam lubang akibat jalan raya mendap.
Kejadian di Kilometer 43 Jalan Benta-Jerantut berdekatan Kampung Terap itu berlaku kira-kira jam 9 malam mengakibatkan laluan terbabit terputus dua.
Pemandu, Herman, 27, berkata, ketika kejadian, dia bersama dua rakannya, Anuar, 30 dan Wan, 45, dalam perjalanan dari arah Benta menuju ke Jerantut.
“Kami tinggal di Taman Sama, Jerkoh. Ketika kejadian, kami dalam perjalanan menuju ke Jerantut. Ketika itu hujan lebat, manakala keadaan sekeliling gelap-gelita.
“Saya tidak perasan ada rekahan pada laluan terbabit. Ketika melalui jalan itu, kereta saya tiba-tiba terjatuh bersama mendapan tanah,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.
Herman berkata, dia hanya sedarkan diri selepas diangkat keluar pengguna lain yang kebetulan melalui jalan itu.
“Saya tidak ingat apa-apa dan hanya sedar ketika dibaringkan di tepi jalan. Selain itu, lutut dan dahi saya juga mengalami kecederaan dan terpaksa menerima beberapa jahitan.
“Saya juga dimaklumkan Anuar yang duduk di sebelah pemandu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Ahmad Shah, Temerloh, manakala saya bersama Wan dirawat di Hospital Kuala Lipis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan mengesahkan kejadian itu.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/kereta-terjunam-akibat-jalan-raya-mendap-1.30470
No comments:
Post a Comment