Tuesday, December 13, 2011

Pemandu maut melekat pada besi penghadang

ALOR GAJAH: Seorang pekerja kontrak terbunuh selepas kereta dipandunya terbalik beberapa kali sebelum melekat pada besi penghadang lebuh raya di Kilometer 211.1, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa, M Sathiaraj, 22, yang memandu Proton Saga mati di tempat kejadian kerana cedera parah pada anggota badan dan tersepit dalam kereta yang remuk teruk.


Seorang rakan mangsa, Fadli Ghani, 27, juga cedera parah di muka dan anggota badan dan dihantar ke hospital untuk rawatan.

Ketika kejadian, mereka dikatakan dalam perjalanan ke Bandar Melaka. Jurucakap polis berkata, kereta dipandu Sathiaraj dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh penghadang besi di kiri lebuh raya.


“Kereta itu dipercayai terbalik beberapa kali sebelum terhenti di atas tiang penghadang besi dengan keempat-empat tayar ke atas manakala tiang menembusi bumbung kereta,” katanya di sini.


Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Mazlan Samah berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi untuk melakukan kerja menyelamat.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, kami dapati seorang lelaki yang juga penumpang kereta sudah berada di luar kenderaan dalam keadaan muka berdarah dan terduduk di tebing lebuh raya.


“Pemandu kereta pula tersepit di tempat duduk pemandu dan kami mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan pemandu dalam kereta yang remuk teruk itu.

“Kedudukan mangsa yang berbadan besar dengan kepala ke bawah menyukarkan operasi mengeluarkannya,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, pihaknya ada menerima laporan kemalangan berkenaan.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat dan saksi kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah di talian 06-5563222 atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment