Monday, December 12, 2011

Maut terjunam ke dalam kolam pancing


Inalillahi wainailaihi rojiun

TERACHI - Seorang wanita maut apabila kereta yang dinaikinya terbabas sebelum terjunam ke dalam kolam pancing di Kampung Gedang di Kilometer 24.5, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Suzimah Shuhaimi, 28, be­rasal dari Taman Seri Gombak, Batu Caves, Selangor menaiki kereta jenis Honda berwarna putih dalam perjalanan ke Kuala Pilah menghala ke Seremban.

Mangsa ditemui maut selepas kereta yang dinaiki dikeluarkan oleh Pasukan Penyelamat di Air (PDA) dari Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, kenderaan yang menghala ke Seremban dipercayai cuba memotong sebuah lori di hadapannya walau bagaimanapun tidak sempat kerana ada sebuah bas dari arah bertentangan.

Menurutnya, ketika tiba di jalan itu, kereta mangsa dipercayai cuba memasuki semula lorongnya, namun terlanggar bahagian belakang lori terbabit lalu terbabas ke kiri jalan.

“Kereta itu hilang kawalan lalu terbabas hingga menjunam ke dalam kolam ikan pancing sedalam 3 meter,” katanya.

Dalam pada itu, Jaafar berkata, setakat ini, hanya seorang penumpang sahaja dikenal pasti.

“Pihak polis akan melakukan siasatan lanjut berdasarkan kepada alamat yang tertera di kad pengenalan mangsa.

“Pihak polis tetap berusaha menghubungi saudara mangsa, bagi melihat sama ada mangsa bersama orang lain ataupun seorang diri. Kerja-kerja menyelamatkan ditamatkan oleh pihak Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat daerah, Kamarudin Salleh berkata, pihak bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 2.15 petang dan sampai ke tempat kejadian kira-kira 2.40 petang.

“Setibanya di tempat kejadian, kea­daan kereta itu terbalik dengan tayar keempat-empat ke atas. Kenderaan dua pintu itu ditarik keluar dibantu oleh jentera bomba dan dibantu oleh sebuah treler untuk menariknya ke atas.

“Buat masa ini, seorang mangsa dijumpai. Pihak bomba bersama tiga orang dari PDA bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, anggota dari Bomba dan Penyelamat dari Kuala Pilah seramai enam orang bagi membantu kerja-kerja menyelamat.

“Mayat diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment