Tuesday, December 13, 2011

Bas ekspres rempuh Kereta dan Lori

SLIM RIVER: Tragedi ngeri hampir meragut puluhan nyawa apabila sebuah bas ekspres dipandu laju dalam hujan lebat merempuh sebuah kereta sebelum melanggar pula sebuah lori.

Dalam kejadian di Kilometer 367.3, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah utara, dekat sini, jam 6 petang semalam, seorang pemandu lori terbunuh selepas dihempap kenderaannya yang terbalik sejurus dirempuh bas berkenaan.

Bas yang membawa 31 penumpang itu terlebih dulu melanggar sebuah Proton Waja dinaiki dua lelaki sebelum merempuh lori dipandu mangsa yang dikenali sebagai Vinawegamoorthi, 45, menyebabkan kenderaan berat itu terbalik.

Kemalangan dipercayai berpunca selepas lori membawa muatan rempah-ratus dari Kuala Lumpur menuju Ipoh itu hilang kawalan selepas tayar depan kirinya pecah.


Kelindan lori berkenaan berusia 60-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, lori itu dipandu perlahan oleh rakannya berikutan hujan lebat.


“Tiba-tiba tayar depan kiri meletup mengakibatkan ia hilang kawalan dan terhuyung-hayang ke kiri dan kanan jalan

“Mangsa mengawal kenderaan sebaik mungkin untuk cuba memberhentikannya di laluan kecemasan sebelum terbalik,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.


Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Perak, Wan Azmi Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu kira-kira jam 6.15 petang.

Katanya, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Tapah dan Slim River bergegas ke tempat kejadian.

Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment