Monday, October 17, 2011

Penunggang Maut Dirempuh Lori



 Inalillahi wainailaihi rojiun

LEDANG – “20 minit lagi aku nak balik.” Demikian kata-kata terakhir Shaidan Abdul Rahman, 33, kepada rakan baiknya sebelum maut setelah terbabit dalam kemalangan di Sengkang Batu 19, Bukit Gambir, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seri Paya, Sengkang Batu 20 selepas mengunjungi gerai rakan baiknya di Pasar Malam Serom 3.

Rakan baik mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka kedatangan Allahyarham di gerainya pada malam kejadian merupakan pertemuan terakhir buat mereka.

Menurutnya, kira-kira dua jam berada di gerainya itu, arwah tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik dan dia kelihatan seperti biasa dengan sikap ramahnya itu.

“Setiap minggu arwah akan datang melepak di gerai murtabak saya di Pasar Malam Serom 3 di sini.

“Memandangkan arwah ingin pulang awal ke rumah, saya sempat mengirimnya murtabak untuk emak saya kerana kami tinggal sekampung,” katanya ketika ditemui :Sinar Harian: di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka berdua akan pulang bersama-sama, tetapi pada malam kejadian dia pulang lewat sedikit kerana hendak menghabiskan jualan murtabaknya.

“Dalam perjalanan pulang, saya terkejut apabila mendapat panggilan mengatakan Shaidan terbabit dalam kemalangan.

“Pada mulanya menyangka hanya kemalangan biasa sahaja dan setibanya di lokasi kejadian dapat mengetahui arwah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, dia sangat sedih kerana arwah kemalangan hanya pada jarak 1.4 kilometer daripada rumah keluarganya.

Difahamkan, ketika dalam perjalanan dipercayai motosikal mangsa dirempuh sebuah lori dari arah bertentangan.

Akibat perlanggaran tersebut, motosikal mangsa hilang kawalan sebelum terseret hampir 10 meter daripada tempat kejadian.

Mangsa mati serta merta di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa anggota badan yang lain.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment