Wednesday, October 19, 2011

Nyaris Maut Dihimpit Perodua Alza



SEREMBAN: Seorang wanita nyaris maut dalam kemalangan jalan raya selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum terjatuh di Jalan Forest Height, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Siti Qursiah Mohd Zain, 21, dari Taman Desa Chembong, Rembau, cedera di muka dan tangan akibat terjatuh atas jalan.


Saksi dikenali sebagai Hashim, 25, berkata, dia melihat wanita itu yang menunggang motosikal Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Seremban menuju Senawang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia melihat sebuah Perodua Alza menghimpit motosikal mangsa menyebabkan wanita itu terbabas ke bahu jalan sebelum terjatuh.


“Saya nampak mangsa berguling beberapa kali selepas terjatuh sebelum terbaring kesakitan di atas jalan.


“Saya terkejut melihat kejadian itu, namun kemudian berusaha menahan beberapa kenderaan bagi membantu wanita itu.

“Kami cuba membantunya, tetapi dia tidak dapat bergerak sebelum menghubungi ambulans kerana risau dengan keadaannya yang seperti tidak sedarkan diri,” katanya ketika ditemui, semalam.


Menurutnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) dengan menaiki sebuah ambulans.

Sementara itu, sumber di HTJS berkata, mangsa mengalami beberapa kecederaan seperti luka di muka dan tangan dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

Sumber: myMetro

No comments:

Post a Comment