Monday, September 5, 2011

Lori Diesel Terbakar


PENDANG – “Tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan,” kata Ahmad Sobirin Abdul, 30, saksi yang terkejut mendengar bunyi letupan kuat dan pada mulanya dia menyangka berlaku kemalangan di kawasan itu namun, melihat sebuah lori muatan minyak diesel kira-kira 5,000 liter terbakar di pekan Bukit Jenun di sini, malam kelmarin.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 9.30 malam dan ketika itu dia ke halaman rumah untuk memindahkan keretanya.

“Semasa saya membuka pintu untuk memindahkan kereta, tiba-tiba terdengar bunyi letupan kuat dan menyangka berlaku kemalangan.

“Namun, apabila memeriksa bunyi letupan itu saya lihat sebuah lori terbakar dan api sudah marak hingga 30 meter dan hampir dengan rumah saya,” katanya.

Ahmad Sobirin berkata, setelah melihat kejadian itu dia segera membawa keluarganya keluar dari rumah untuk mengelak perkara yang tidak diingin berlaku.

“Ini kerana saya bimbang api merebak sehingga ke rumah kami. Namun, bersyukur api tidak merebak dan hanya terputus bekalan elektrik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak Md Shukri Bahari berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.30 malam dan tiba di tempat kejadian 15 minit kemudian.

Beliau berkata, ketika bomba sampai lori minyak itu sudah terbakar sepenuhnya sehingga menyambar wayar elektrik dan anggotanya mengambil masa 20 minit untuk mengawal kebakaran.

“Ketika tiba di tempat berkenaan api sudah merebak dan satu pam minyak dari kedai minyak yang sudah tidak beroperasi dekat dengan lori ini turut disambar api.

“Sebuah kereta dan lori lain turut rosak akibat disambar api dari lori berkenaan,” katanya.

Justeru, beliau berkata, seramai lima anggota dan satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Guar Chempedak selain dibantu lima jentera sukarela dikejarkan ke tempat kejadian.

Katanya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan dan semasa kejadian itu berlaku tidak ada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment