Saturday, August 20, 2011
Pemandu Treler Dikehendaki Polis
SUNGAI PETANI – Polis menjejaki pemandu sebuah treler yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer 51 Jalan Alor Setar Butterworth dekat Sungai Lalang yang menyebabkan seorang penunggang motosikal maut akibat pergeseran.
Pegawai Penyiasat, Inspektor Isalihin Boyahmin berkata, pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan menghilangkan diri sejurus selepas berhenti seketika di lokasi.
Menurutnya, mana-mana saksi yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat boleh menghubunginya menerusi talian 019-7080747.
Beliau berkata, kejadian berlaku apabila mangsa, Keritaran Arumugam, 18, berasal dari Bedong yang ketika itu tiba di simpang lampu isyarat bergeser dengan seorang lagi penunggang motosikal yang sedang berhenti bagi menunggu lampu isyarat hijau untuk ke Bukit Selambau.
“Akibat kejadian itu, penunggang motosikal, Zamri Hasan, 38, terjatuh ke hadapan manakala Keritaran pula terjatuh ke sebelah kiri,” katanya.
Menurutnya, Keritaran yang juga seorang anak tunggal menuntut di Kolej PTPL baru sahaja pulang dari hospital bagi mendapatkan rawatan susulan setelah mengalami kecederaan di bahagian dagu akibat kemalangan terdahulu.
“Selepas terjatuh dari motosikal, Keritaran yang tidak sempat mengelak digesel sebuah treler yang datang dari arah belakang menyebabkan dia maut di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, ketika kejadian, ketiga-tiga kenderaan datang dari arah sama iaitu dari Sungai Petani ke Sungai Lalang.
“Menurut maklumat mangsa kedua (Zamri), ketika terjatuh dia ada dengar bunyi hon dan menoleh ke arah kiri jalan sebelum ternampak sebuah treler sedang menuju ke arah lokasi dan melanggar mangsa.
“Masa itu juga, dia juga memaklumkan ternampak pemandu treler berhenti untuk melihat kejadian, namun pemandu berkenaan teruskan perjalanan selepas berhenti seketika,” katanya.
Menurutnya, akibat kemalangan, Keritaran maut di tempat kejadian dan Zamri mengalami cedera ringan bagaimanapun pihak polis masih mencari pemandu treler yang terbabit dalam kejadian itu.
Sumber: SH
No comments:
Post a Comment