Wednesday, August 17, 2011
Pemandu bas ekspres digesa ikut peraturan
KUALA LUMPUR 16 Ogos - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta semua pemandu bas ekspres agar mematuhi peraturan keselamatan jalan raya bagi bersama-sama memastikan kadar kemalangan jalan raya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri kali ini berkurangan.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd. Nadzri Osman berkata, setiap pemandu bas ekspres tidak harus mementingkan diri sendiri semata-mata mahu cepat sampai ke sesuatu destinasi.
"Ini kerana setiap perjalanan sudah ditetapkan bila ia akan sampai dan anda tidak perlu memandu bas dengan laju sehingga menimbulkan ketakutan kepada para penumpang.
"Jangan kejar 'OT' (kerja lebih masa) untuk menambahkan pendapatan kerana anda sebagai pemandu juga memerlukan rehat yang secukupnya," katanya pada pertemuan dengan pemandu dan pengusaha pelbagai syarikat bas di Pejabat JPJ Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Pertemuan dengan pemandu bas itu merupakan antara pendekatan terbaru yang diguna pakai oleh JPJ bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya pada sambutan perayaan kali ini.
Jelas Mohd. Nadzri, pertemuan itu penting bagi memastikan segala permasalahan atau isu berbangkit yang dihadapi oleh pemandu bas ekspres diberi perhatian oleh JPJ.
"Selain pemeriksaan di depot bas serta penyamaran anggota di dalam bas, JPJ turut meluangkan masa bertemu dengan pemandu-pemandu bas untuk mengetahui permasalahan mereka terutama sekali dari segi penguatkuasaan undang-undang," katanya.
Antara yang hadir ialah pemandu bas dari syarikat Pancaran Matahari, Darul Iman Ekspres, Maraliner, Altabina, Handal, Bulan Restu, Etika serta Mahligai.
Dalam perkembangan sama, Mohd. Nadzri memberitahu, sebanyak 528 pemandu bas ekspres yang telah diperiksa mempunyai rekod pemanduan bersih.
"Itu hanya sebahagian daripada jumlah pemandu bas yang telah diperiksa apabila JPJ meminta syarikat-syarikat bas menghantar senarai nama pemandu bas.
"Kami tidak akan berkompromi dengan pemandu yang mempunyai banyak rekod kesalahan atau lesen digantung kerana ia berkaitan dengan nyawa manusia," katanya.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment