Saturday, August 20, 2011

Kemalangan Lori dan Bas Ekspres


BAGAN SERAI - Dua lelaki maut di tempat kejadian apabila lori membawa muatan barangan elektronik hilang kawalan sebelum bergesel dengan bas ekspres di Kilometer 187.8, Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) berhampiran Bukit Merah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.15 tengah hari, apabila lori dari arah utara ke selatan hilang kawalan sebelum bergesel dengan bas ekspres dari arah sama.

Menurutnya, akibatnya, lori berkenaan terbabas dan melanggar pengadang jalan sebelum terhumban ke bawah jambatan.

“Pemandu dan kelindan lori terpelanting keluar selain jatuh ke bawah jambatan.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian anggota badan dan meninggal di tempat kejadian,” katanya.

Mat Fauzi berkata, pemandu lori, Rosdin Rahim, 38, dan kelindannya, Zulkifli Mohamed, 23, kemudian dihantar ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk bedah siasat.

Beliau berkata, sepasukan anggota Bomba dan Penyelamat dari Parit Buntar dengan sebuah jentera telah datang ke lokasi kejadian untuk membantu menyelamat mangsa.

Sementara itu, katanya, barangan elektronik bertaburan di atas jalan yang sedang dibaiki oleh Plus.

“Lori membawa barangan elektronik dipercayai dari arah utara (Butterworth) menuju ke Ipoh remuk selain mengalami kerosakan teruk.

“Manakala, bas ekspres terbabit hanya mengalami kerosakan kecil, sementara pemandu bas yang juga masih belum dikenal pasti identitinya bersama kira-kira 15 penumpang selamat, dan meneruskan perjalanan ke selatan dengan bas lain,” katanya.

Menurutnya, berikutan kejadian itu, kesesakan sepanjang kira-kira dua kilometer berlaku di laluan berkenaan.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment