Saturday, July 2, 2011
Pemandu Van Warga Emas maut
PELABUHAN BARAT – Seorang warga emas maut setelah van dipandunya gagal dikawal sebelum melanggar kereta jenis Proton Wira dan kontena sebelum menjunam ke parit di Lebuhraya Kesas, kira-kira jam 3.30 petang, semalam.
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang mengambil masa kira-kira 10 minit mengeluarkan mangsa mangsa berketurunan Cina berusia sekitar 62 tahun yang tersepit di tempat duduk
Bagaimanapun mangsa yang parah di seluruh anggota badan itu akhirnya meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Sementara itu, pemandu kontena hanya ingin dikenali Zali, 34, berkata, dia memandu kontena berseorangan dari arah Shah Alam menghala Pelabuhan Barat untuk mengambil muatan.
“Secara tiba-tiba saya perhatikan dari arah bertentangan, van yang dipandu bersebelahan Proton Wira hilang kawalan sebelum melanggar bahagian kanan Proton Wira itu.
“Kedua-dua kenderaan terbabit masuk ke laluan saya memaksa saya membrek secara mengejut,” katanya kepada Sinar Harian di lokasi kejadian.
Menurutnya, dalam masa yang sama kedua-dua kenderaan itu melanggar kontenanya.
“Bagaimanapun kereta Wira terhenti di pertengahan jalan manakala van itu terus meluru laju ke tepi lebuh raya sebelum menjunam ke dalam parit sedalam kira-kira setengah meter.
“Pada saat itu saya amat berdebar-debar dan perasaan takut menguasai diri kerana menyangka kedua-dua pemandu terbunuh berdasarkan keadaan kedua-dua kenderaan yang remuk teruk.
“Bagaimanapun bersyukur selepas melihat kedua-duanya selamat dan dikejarkan ke HTAR dengan ambulans yang tiba tidak lama kemudiannya.
“Namun sejam kemudian, saya terkejut dimaklumkan pemandu van meninggal dunia di hospital oleh polis yang bertugas,” katanya.
Sinar Harian dimaklumkan pemandu van yang parah meninggal dunia di Wad Kecemasan kira-kira sejam kemudian manakala pemandu Proton Wira yang berusia 21 tahun turut dirawat di hospital sama kerana kecederaan di bahagian muka.
Dalam pada itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, mayat mangsa kemudiannya dipindahkan ke bilik mayat bagi urusan bedah siasat.
Katanya, polis masih menyiasat identiti dan maklumat berkaitan diri mangsa.
Sumber: SH
No comments:
Post a Comment