loading...

Monday, July 25, 2011

Pelajar UniKL Melayang Treperosok Di Bawah Bas

Al-Fatihah...

HULU SELANGOR 24 Julai - Seorang pemandu bas ekspres hanya mampu tergamam kerana tidak menyangka objek terbang seperti Superman yang terhempas di depan cermin kenderaan dan disangka tayar kereta rupa-rupanya adalah mayat seorang penunggang motosikal.

Dalam kejadian pukul 2.30 petang di Kilometer 404.7 Lebuh Raya Utara-Selatan itu, pemandu bas ekspres Transnasional, Ismail Naim, 52, dalam perjalanan dari Teluk Intan, Perak menuju ibu negara apabila ternampak satu objek berwarna hitam 'terbang' di udara sebelum jatuh terhempas di atas cermin bas yang dipandunya.

Dia yang terkejut bagaimanapun sempat mengawal bas daripada terbabas sebelum berhenti untuk menyiasat objek 'terbang' yang kemudian terseret di bawah kenderaannya.

Ismail berkata, dia yang mulanya menyangka objek tersebut adalah tayar tercampak dari kereta di hadapannya begitu terkejut apabila menemui seorang lelaki berlumuran darah tersangkut di bawah tayar belakang bas dipandunya.

"Saya perasan ada objek terbang seperti Superman terhempas di depan cermin bas dan melalui cermin sisi, saya lihat ia berwarna hitam dan menyangka ia tayar kereta.

"Saya langsung tidak terfikir ia adalah penunggang motosikal yang sebelum itu merempuh sebuah kereta yang terbabas pada penghadang jalan di hadapan saya. Saya bagaimanapun tidak perasan kereta jenis apa yang dirempuh mangsa kerana pemandunya terus melarikan diri," katanya ketika ditemui di tempat kemalangan di sini, hari ini.

Menurut Ismail, semasa kejadian, dia dalam perjalanan membawa 41 penumpang dari Teluk Intan ke Hentian Bas di Jalan Duta dan Puduraya dekat sini.

Ismail berkata, mujur semasa insiden itu dia berjaya mengawal bas daripada terbabas menyebabkan semua penumpang termasuk dirinya terselamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.

Bagaimanapun, lapan kenderaan yang mengekori di belakang termasuk sebuah lagi bas ekspres dan sebuah motosikal terpaksa berhenti mengejut menyebabkan mereka gagal mengelak daripada merempuh antara satu sama lain.

Kejadian itu menyebabkan kelapan-lapan kenderaan terbabit remuk tetapi semua pemandu dan penumpang selamat.

Sementara itu, pasukan Bomba dan Penyelamat yang dikejarkan ke tempat kejadian mengambil masa lebih sejam untuk mengeluarkan mayat mangsa, Syafiq Aswadi Hishamuddin, 23, pelajar Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang tersepit di bawah tayar bas.

Syafiq Aswadi yang berasal dari Taman Guchil, Jalan Guchil Bayam, Kota Bharu, Kelantan, dan menjalani latihan di Sungai Buloh mati di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian perut dan kepala.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat dan punca kemalangan masih dalam siasatan.

Sumber: Utusan
             Metro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my