Friday, July 29, 2011

Lori Gas Terjun Sungai

KOTA BHARU - Seorang pemuda berusia 33 tahun berhadapan dengan detik cemas apabila nyaris maut setelah terjatuh bersama lori gas yang dipandunya di Jambatan Lapang Pari, Pantai Cahaya Bulan (PCB)/ Pengkalan Chepa, di sini, semalam.

Mangsa bagaimanapun terselamat selepas berjaya membuka pintu lori sebelum keluar dan berenang sejauh lima meter dari tebing Sungai Pengkalan Chepa.

Kamarudin Ismail, 33, berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1 tengah hari semalam ketika beliau dalam perjalanan dari Pengkalan Chepa menuju ke PCB untuk menghantar gas kepada pelanggan.

“Ketika berada di tengah-tengah jambatan kayu ini, lori yang saya pandu tergelincir daripada laluan kenderaan dan saya pula tidak sempat mengawalnya.

“Ia kemudian jatuh ke dalam air dan tenggelam ke dalam sungai, setelah itu, saya berusaha menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai dan orang ramai mulai datang melihat kejadian,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Dalam kejadian berkenaan, Kamarudin yang memandu seorang diri membawa 29 tong gas dan penduduk setempat turut membantu mengangkat lori yang tenggelam kira-kira tiga jam menggunakan kren tunda.

Sementara itu, Penghulu Mukim Jaya Setia, PCB, Mohd Nasir Yaacob berkata, tragedi itu adalah kejadian pertama yang berlaku di Jambatan Lapang Pari.

“Jambatan kayu ini kini dalam proses naik taraf kepada jambatan batu dan setakat ini kerja-kerja meletakkan peralatan berkaitan di dalam sungai sudah dijalankan.

“Jambatan ini akan dinaik taraf dengan kos kira-kira RM3 juta bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang lalu-lalang ke jalan alternatif PCB-Pengkalan Chepa,” katanya.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment