Friday, July 29, 2011

Kempen meminimumkan kes kemalangan motosikal

KOTA BHARU - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) giat menjalankan kempen kerjasama dengan beberapa agensi berkaitan bagi memberi kesedaran dan maklumat untuk meminimumkan kes kemalangan membabitkan penunggang motosikal di negeri ini.

Ini kerana, selain membayar pampasan kepada pekerja yang layak menerima faedah, usaha-usaha pencegahan dan pemulihan menjadi tumpuan jabatan itu supaya kes kemalangan dapat dikurangkan.

Pengarahnya, Zaini Ab Llatiff berkata, kerjasama pihaknya dengan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mampu meminimumkan kemalangan industri dan jalan raya di negeri ini.

“Kehadiran 60 peserta terdiri daripada wakil majikan dan pekerja yang mempunyai kemalangan tertinggi di negeri ini diharap memberikan info berguna untuk kepada mereka.

“Berdasarkan statistik JKJR kemalangan maut dicatatkan pada 2009 adalah 434 kes, 316 kes pula pada tahun lalu dan sehingga Jun 2011 terdapat 153 kes yang kebanyakan membabitkan penunggang motosikal,” katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu beliau merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya bersama JKJR dan JKKP yang dihadiri Pengarah JKJR, Mohd Azlisham Abdul Rahman dan Pengarah JKKP, Ir Zulkafli Zainuddin.

Menurutnya, menyedari perkara ini, usaha dan inisiatif dilakukan Perkeso Kelantan untuk mengadakan pelbagai program dalam usaha untuk meminimumkan kemalangan industri dan jalan raya berlaku di negeri ini.

Katanya, pihaknya mengadakan taklimat kepada golongan majikan yang melaporkan kemalangan tertinggi dan pekerja yang menggunakan motosikal ke tempat kerja kerana golongan itu menyumbang kepada kenaikan jumlah kemalangan yang dilaporkan kepada Perkeso.

Katanya, program seumpama itu dilakukan untuk memberi penekanan kepada keperluan tindakan pencegahan sebagai asas kepada perlindungan keselamatan sosial pekerja.

Sumber: SH

No comments:

Post a Comment