Monday, July 25, 2011
Guru Bahasa Arab Tercampak Maut
Al-Fatihah...
KOTA TINGGI – Seorang guru bahasa Arab maut setelah tercampak keluar daripada kereta dipandu dalam kemalangan yang berlaku di Kilometer 33.7, Jalan Johor Bahru-Mersing melibatkan dua kenderaan pada jam 4.45 petang, kelmarin.
Nor Zakiah Umar, 29, meninggal dunia di tempat kejadian apabila Toyota Rush yang dipandunya hilang kawalan lalu memasuki laluan bersebelahan dan melanggar kereta Toyota Hilux hingga menyebabkan dia dan seorang lagi penumpang tercampak keluar.
Ketika kejadian, mangsa yang berasal dari Merlimau, Melaka, sedang dalam perjalanan ke Kota Tinggi bersama adik angkatnya, Azuanurhuda Abd Rahman, 24, untuk membeli-belah.
Menurut sahabat karib mangsa, Asiah Samad, 49, berita kematian Nor Zakiah yang diketahui melalui sistem pesanan ringkas (SMS) rakannya pada jam 5 petang kelmarin bagaikan satu mimpi dan sukar untuk dipercayai.
“Saya begitu terkejut menerima berita pemergian arwah sedangkan kami baru sahaja bergelak ketawa bersama ketika kem ibadah berlangsung siang tadi (kelmarin). Kami juga sempat berbual panjang sebelum tidur di dalam bilik yang sama.
“Saya ada melihat arwah melakukan solat Tahajud pagi tadi (kelmarin) dan tiada tanda langsung menunjukkan arwah akan pergi selamanya,” katanya yang bergegas ke Kota Tinggi dari Merlimau selepas dimaklumkan kejadian yang berlaku.
Menurutnya, Allahyarham Nor Zakiah seorang yang sangat baik dan selepas tamat kem ibadah itu, arwah ada memberitahunya mahu berjumpa adik angkatnya di Johor dan seterusnya ke Kota Tinggi untuk membeli-belah.
“Sebelum arwah berangkat ke Johor, kami sempat pergi kenduri kahwin bersama-sama dan saya tidak menyangka bahawa itu merupakan pertemuan terakhir kami,” katanya yang juga mengajar di sekolah sama dengan mangsa di Sekolah Kebangsaan Alai, Merlimau.
Sementara itu, Ketua Polis Kota Tinggi, Superintendan Osman Muhammad Sebot ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Adik angkat mangsa yang juga seorang guru di sebuah sekolah di Johor Bahru berada dalam keadaan separuh sedar dan kini sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah. Sementara pemandu Toyota Hilux iaitu seorang lelaki Cina hanya mengalami cedera ringan di telinga,” katanya.
Jenazah mangsa kemudian dituntut ahli keluarga dan telah dibawa ke kampung halamannya di Merlimau untuk dikebumikan pagi semalam.
Sumber: SH
Kosmo
No comments:
Post a Comment