TAMAN TEMERLOH MAKMUR- Isteri kepada seorang bekas tentera yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya beberapa bulan lalu memerlukan bantuan orang ramai bagi meringankan bebanan ditanggungnya.
Haniza Yusof, 37, berkata, nasib suaminya itu, Mohamad Yusuf Md Razali, 41, mendapat perhatian Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah bersama Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang hadir ke rumahnya.
Menurutnya, sebelum ini dia ada menyiarkan nombor akaun adik iparnya, Mohd Farid Md Razali dalam akhbar ini untuk memohon sumbangan orang ramai namun ada yang terkeliru hingga menyebabkan orang ramai tidak dapat berbuat demikian.
“Saya mohon jasa baik orang ramai supaya dapat membantu saya kerana kami sekarang bergantung dengan pendapatan pencen suami sebanyak RM750 sebulan.
“Dengan wang itu, saya menanggung empat anak yang masih bersekolah dan dengan wang itu juga membeli keperluan suami yang kini terlantar di rumah,” katanya.
Menurutnya, dia tidak dapat bekerja untuk mencari pendapatan kerana suaminya itu lumpuh dan memerlukan penjagaannya setiap masa serta perlu menjaga anak-anak yang masih kecil.
“Suami saya kini memerlukan penggunaan lampin pakai buang dan minum susu setiap hari. Jadi, dengan pendapatan pencen itu sudah pasti ia tidak mencukupi tambahan pula barangan yang semakin mahal.
“Saya berterima kasih kepada pihak Ahli Parlimen dan JHEV ATM yang sudi menghulurkan bantuan berupa katil dan tilam untuk kegunaan suami saya,” katanya.
Sinar Harian difahamkan, Mohamad Yusuf terlibat dalam kemalangan itu semasa bertugas bersama sebuah syarikat keselamatan di Kampung Dala, Lanchang pada 1 Mac lalu dan kini terlantar di rumahnya dekat taman perumahan ini.
Sumber: SH
No comments:
Post a Comment