Wednesday, June 29, 2011
Pemandu Van Maut Rempuh Lori
REMBAU: Seorang lelaki maut selepas van yang dipandunya melanggar belakang sebuah treler yang sarat membawa kayu bergergaji di kilometer 231, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran plaza tol Pedas-Linggi dekat sini, awal pagi ini.
Jurucakap polis berkata, mangsa, Hassan Ahmad Supadi, 39, beralamat Kampung Giching, Sepang, Selangor yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia ditempat kejadian.
Mayatnya dihantar ke Hospital Tampin untuk dibedah siasat.
Kejadian itu berlaku pada kira-kira jam 3.30 pagi ketika kedua-dua kenderaan terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke utara.
Akibat pelanggaran itu, van mangsa terperosok di belakang treler.
Sepasukan enam anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau dikejarkan ke tempat kejadian untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Sebelum itu pasukan bomba terpaksa menggunakan "winch" kenderaan bomba untuk menarik keluar van yang terperosok di bawah treler.
Sementara itu, pemandu treler P Raja, 52 berkata, beliau dan rakannya yang sedang dalam perjalanan dari Labis, Johor ke Kapar, Klang menyedari kemalangan itu apabila tiba-tiba terdengar bunyi hentakan dan letupan di belakang treler.
"Lalu saya berhentikan treler di lorong tepi lebuh raya dan keluar melihat sebuah van terperosok di bekalang treler. Saya tidak dapat nak bantu mangsa sebab mangsa tersepit," katanya. - BERNAMA
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment