Wednesday, June 29, 2011

Kepala Hancur Digilis Lori


SIMPANG AMPAT – Hasrat seorang ibu menyediakan makan tengah hari buat keluarganya tidak kesampaian apabila dia maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan motosikal yang ditunggang mangsa dan lori treler di Taman Merak, pagi semalam.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 10 pagi itu menyebabkan mangsa, Tan Pho Siew, 62, mati di tempat kejadian apabila kepalanya hancur akibat digilis lori treler.

Suami mangsa, Ang Khar Seng, 69, berkata, kali terakhir dia melihat isterinya pada pagi semalam sebelum dia keluar sarapan pagi di kedai berhampiran rumahnya di Bukit Tambun.

“Awal pagi lagi saya sudah keluar bersama anak perempuan untuk bersarapan di kedai kopi manakala Pho Siew hanya memaklumkan dia hendak ke pasar untuk membeli ikan dan sayur.

“Pho Siew seorang isteri dan ibu yang baik, bekerja sebagai pembantu restoran bagi mengambil alih tanggungjawab saya yang tidak mampu bekerja kerana menghidap penyakit strok sejak lima tahun lalu.

“Namun, kejadian itu benar-benar menguji kasih sayang saya apabila isteri yang dicintai pergi buat selamanya selepas dimaklumkan oleh jiran bahawa dia terlibat dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Hospital Sungai Bakap.

Menurutnya, semalam dan hari ini mangsa bercuti dan berhasrat ingin menyediakan makanan buat mereka sekeluarga.

“Namun hasratnya tidak kesampaian apabila dia terlibat dalam kemalangan ngeri di simpang jalan dekat Taman Merak.

“Keadaan sayur yang dibeli berada di atas jalan bersamanya dan pemergiannya itu meninggalkan tiga anak, seorang lelaki dan dua perempuan berusia 24, 26 dan 29 tahun, ” katanya.

Saksi kejadian yang dikenali sebagai Hamidah, berkata, mangsa yang menunggang motosikal bersendirian itu terlebih dahulu memberi isyarat untuk membelok ke Taman Merak.

“Namun, lori treler yang mengekori dari arah belakang memintas motosikal yang ditunggang sebelum menggilisnya.

“Melihat keadaan treler yang dipandu dalam keadaan menakutkan itu, saya mengalihkan kereta yang sedang berhenti untuk melintas ke seberang jalan.

“Saya sudah menjangkakan sesuatu yang buruk akan berlaku apabila melihat keadaan lori treler yang memintas motosikal terbabit dan ternyata jangkaan saya benar,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

“Saya memohon kerjasama daripada orang ramai yang melihat kejadian terbabit tampil di mana-mana balai polis berhampiran untuk memberi maklumat bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: SHarian


No comments:

Post a Comment