Tuesday, June 28, 2011
Daihatsu Charade vs Toyota LE
Al-Fatihah...
SUNGAI DAUN - Dua maut dalam kemalangan yang berlaku di Batu 14 membabitkan dua kereta dari arah bertentangan.
Jurucakap polis berkata, kemalangan yang berlaku berlaku kira-kira jam 2.47 petang, semalam yang melibatkan sebuah kereta Daihatsu Charade berlanggar dari arah bertentangan dengan sebuah lagi kereta Toyota LE.
“Kereta Dahaitsu yang dipandu Azhar Ahmad, 40, dari arah Alor Setar menghala ke Yan berlanggar dengan sebuah lagi kereta Toyota dari arah bertentangan yang membawa tiga penumpang dan seorang pemandu.
“Dipercayai kereta Toyota itu masuk ke laluan bertentangan dan melanggar kereta yang dipandu Azhar,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, dalam kemalangan terbabit Azhar dan seorang penumpang Toyota yang duduk di bahagian belakang, Harun Othman, 58, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu Toyota dan seorang penumpang dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar manakala seorang penumpang lagi di hantar ke Hospital Yan untuk mendapatkan rawatan lanjut dan keadaannya dilaporkan stabil.
“Kedua-dua mangsa kemalangan yang meninggal dunia dibawa ke Hospital Yan,” katanya.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu mengesahkan kejadian terbabit.
Bapa kepada Azhar, Ahmad Yahya, 70, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anaknya ialah semalam ketika mangsa yang bekerja sebagai tukang rumah datang ke rumahnya untuk mengambil barang-barang keperluan untuk membina rumah.
“Saya mendapat berita kemalangan yang melibatkan anak saya daripada adiknya, setelah mendapat berita ini saya terus bergegas ke tempat kejadian. Pada waktu itu pihak bomba sedang mengeluarkan mangsa dari sebuah lagi kereta.
“Dia adalah anak keempat daripada 10 orang adik beradik. Sebelum kejadian ini Azhar tidak menunjukkan sebarang tingkah laku yang pelik dan dia berbual seperti biasa sahaja,” katanya.
Ahmad berkata, Azhar semasa kejadian dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya di Batu 17 daripada tempat kerjanya di Padang Pusing.
Saksi yang melihat kejadian ini diminta menghubungi Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Yan, Asistan Superintendan Ahmad Salimi Md Ali di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan menerusi talian 04-4655222 bagi siasatan lanjut.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment