Monday, May 23, 2011

Mangsa kemalangan sempat selamatkan diri


ALOR GAJAH - Seorang mangsa kemalangan nekad keluar sendiri dari kenderaannya selepas terbabit dalam kemalangan di Kampung Air Hitam Lendu, berdekatan Kompleks Rakan Muda, di sini kelmarin.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu bernasib baik kerana berjaya menyelematkan diri, biarpun sudah tersepit dalam keretanya yang remuk.

Dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu, mangsa memandu kereta jenis Proton Iswara dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah bertembung dengan Proton Waja dari arah bertentangan.

Seorang saksi, R. Sugumar, 37, berkata, semasa kejadian, dia sedang memandu, manakala Proton Waja berkenaan berada di hadapannya.

“Setiba di selekoh, Proton Iswara dari arah bertentangan meluru laju sebelum merempuh Proton Waja berkenaan.

“Saya nampak kereta itu hilang kawalan dan makan jalan di laluan bertentangan. Tambahan pula keadaan jalan licin akibat hujan dan menuruni bukit licin,” katanya.

Dia yang juga Ketua MIC Bahagian Masjid Tanah berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua kereta terlibat melintang atas jalan raya. Dalam keadaan cemas, katanya, dia bertindak keluar dari kereta membantu mengeluarkan mangsa.

“Pemandu Proton Waja itu sesak nafas akibat hentakan kuat pada stereng. Saya juga lihat pemandu Proton Iswara tersepit sudah keluar sendiri dari keretanya.

Menurutnya, bantuan keselamatan tiba sejurus selepas itu sebelum kesemua mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah.



“Pemandu Proton Iswara itu hanya cedera ringan, sementara pemandu kereta Proton Waja hanya mengalami kesukaran bernafas, manakala pasangannya tidak mengalami sebarang kecederaan serius,” katanya.

No comments:

Post a Comment