Thursday, May 26, 2011

Malang Si Rempit


MASJID TANAH - Tindakan seorang remaja melontar cabaran terhadap rakannya semasa menunggang motosikal mengundang padah apabila motosikalnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pengkalan Balak, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu, remaja berusia 21 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha LC dan meluru laju bersama seorang lagi rakannya yang menunggang motosikal berasingan.

Kedua-dua mereka dikatakan menunggang motosikal dalam keadaan memecut sambil memotong dan mencelah beberapa kenderaan lain atas jalan raya.

Bagaimanapun, seorang daripada mereka gagal mengawal motosikalnya sebelum termakan jalan, lalu merempuh sebuah kereta datang dari arah bertentangan.

Mangsa dikatakan melambung dan terjunam atas cermin hadapan kereta dinaiki sepasang suami isteri.

Ketika kejadian, mangsa juga dikatakan tidak memakai topi keledar, sebaliknya diletakkan di bahagian depan motosikalnya.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah dibawa orang awam ke Hospital Kem Terendak, di sini sebelum dirujuk ke Hospital Melaka.

Seorang saksi kejadian, Ahmad Warid, 20-an, berkata, dia terkejut melihat dua motosikal meluru laju melepasi kereta di hada­pannya, sebelum seorang daripadanya masuk ke laluan bertentangan.

“Motosikal itu celah-mencelah melepasi kenderaan di hadapan. Tiba-tiba saya nampak seorang daripada motosikal itu bertembung dengan sebuah kereta.

“Masa itu mangsa kelihatan melambung ke atas kereta sebelum menjunam semula menghentam cermin hadapan kereta jenis Honda itu sehingga retak,” katanya.

Seorang lagi saksi, Abdullah Hasan, 59, berkata, dia nampak mangsa melambung ke udara sebelum kepalanya terjunam terlebih dahulu ke atas cermin hadapan kereta.

“Saya nampak rakan mangsa yang menunggang motosikal satu lagi terus melarikan diri entah ke mana. Mungkin dia takut,” katanya.

Sementara itu, pemandu kereta, Abu Kasim Ahmad, 67, dan isterinya, Nik Badariah Nik Ahmad, 48, dikatakan dalam perjalanan dari Pengkalan Balak ke sebuah chalet di Telok Gadong.

Bagaimanapun, kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

No comments:

Post a Comment