Monday, May 23, 2011

Hentian Bas Tengah Jalan Tidak Rasional


KUANG – Sebuah hentian bas yang berada di tengah-tengah jalan di Pekan Kuang dekat sini bukan sahaja mengelirukan tetapi juga membahayakan orang ramai.

Tinjauan Sinar Harian mendapati rata-rata penduduk yang ditemui tidak berpuas hati dengan pelan pembinaan jalan diperhentian bas itu.

Peniaga kedai runcit, Choo, 35, berkata, minggu lalu berlaku kemalangan membabitkan dua lori di situ.

Menurutnya, kemalangan yang kerap berlaku di situ menyebabkan penduduk tempatan kini bimbang dengan tahap keselamatan mereka.

“Kebanyakan yang keliru adalah pengguna jalan raya yang tidak biasa melalui jalan ini, terutama simpang hendak membelok ke stesen komuter, jadi pihak berkuasa tempatan (PBT) harus mengkaji semula perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar Haron, 49, berkata, masalah itu sudah lama berlaku dan sepatutnya penyelarasan jalan sebelum pembinaan hentian perlu dibuat dengan teliti.

“Pembinaan jalan termasuk garisan pada jalan dan papan tanda perlu dibina bagi memberitahu pengguna jalan raya di situ tetapi perkara itu tidak berlaku,” katanya.

Menurutnya, laluan terbabit juga sibuk setiap hari terutama membabitkan lori membawa pasir dari kuari yang datang dari Kuang ke Rawang.

“Jadi sebelum keadaan lebih buruk berlaku, ada baiknya perkara itu diberi perhatian.

“Isu ini adalah soal keselamatan sebelum berlaku kejadian lebih buruk. sesuatu perlu dilakukan bagi mengatasi masalah itu,” katanya kepada Sinar Harian.

No comments:

Post a Comment