loading...
Saturday, May 28, 2011
Bas Terbakar di Bukit Palah
BUKIT PALAH - Pemandu bas syarikat SKA menarik nafas lega apabila tindakannya mengalihkan bas yang terbakar dipandunya ke tepi jalan telah menyelamatkan pengguna jalan raya di sini.
Kebakaran yang berlaku di Lebuh AMJ kira-kira jam 12.30 tengahari itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang jalan tersebut.
Pemandu, Johari Sulaiman, 42, berkata, ketika kejadian dia sedang memberhentikan bas di lampu isyarat memandangkan lampu merah.
“Tiba-tiba saya ternampak asap dari bahagian depan, saya pasti ketika itu enjin bas sudah terbakar.
“Dengan segara saya mengalihkan bas ke tepi jalan supaya api tidak merebak ke kenderaan lain.
“Saya juga bimbang sekiranya api terpercik ke arah penunggang motorsikal yang berhenti, nasib baiklah ia tidak meletup, jika tidak pasti ada yang terkorban,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Jelasnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Muar ke Terminal Bas dan Teksi Melaka Sentral.
“Nasib baiklah tiada penumpang, sekurang-kurangnya keadaan dalam bas masih terkawal,”katanya.
Sementara itu salah seorang saksi kejadian berkata, ketika kejadian dia berada betul-betul di sebelah bas tersebut.
“Saya nampak api sudah marak di bahagian enjin depan, malah saya dan seorang lagi segera menghubungi pasukan Bomba,”katanya.
Menurut Pengurus Syarikat Bas SKA, Jason Poh, bas berkenaan dibeli dengan harga RM90,000 pada tahun 1999 dahulu.
“Saya anggarkan kerugian berjumlah RM40,000 memandangkan hampir separuh bahagian bas dan enjin tidak boleh digunakan lagi.
“Kebakaran ini mungkin berpunca daripada kegagalan fungsi pendawaian,” katanya.
Sementara Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu, Mohd Sharil Zauni berkata, pihak bomba menerima panggilan pada 12.46 tengahari.
“Sebanyak tiga jentera bomba dikerahkan ke tempat kejadian dan api berjaya dipadamkan pada jam 1.15 petang.
“Punca kebakaran belum dapat dikenal pasti bagaimanapun tiada korban nyawa berlaku,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment