loading...
Sunday, October 8, 2017
Empat Penunggang Maut Kemalangan
KAJANG - Empat penunggang motosikal maut dalam kejadian kemalangan berasingan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, mangsa berusia 23 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC dipercayai telah melanggar belakang sisi kanan sebuah kereta jenis Perodua Axia di lorong kedua di Kilometer 301.5 lebuhraya berkenaan.
“Akibat kejadian itu, pemandu kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan, lalu kenderaan yang dinaikinya berpusing sekali seterusya dilanggar oleh enam penunggang motosikal lain yang tidak sempat mengelak,” katanya.
Katanya, penunggang motosikal berusia 23 tahun itu meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Manakala seorang lagi penunggang motosikal lain telah meninggal dunia di Hospital Serdang, lima mangsa termasuk pemandu kereta berkenaan mengalami kecederaan dalam kemalangan itu,” katanya.
Kenderaan yang terlibat telah di bawa ke balai dan ditahan untuk di bawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk siasatan lanjut.
Dalam kes berasingan, dua penunggang motosikal lain maut dalam kemalangan di Kilometer 302 di lebuhuraya sama.
Ahmad Dzaffir berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.20 pagi itu, motosikal yang dinaiki oleh mangsa berusia 26 dan 16 tahun itu melalui haluan yang sama.
“Berdasarkan keterangan saksi ditempat kejadian penunggang motosikal berusia 16 tahun itu dipercayai melanggar sisi kiri motosikal yang dinaiki oleh seorang lelaki berusia 26 tahun.
“Akibat perlanggaran tersebut kedua-dua penunggang motosikal berkenaan mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian,” katanya.
Kesemua mangsa yang maut dibawa ke Hospital Serdang untu bedah siasat. Kedua-da kes kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/empat-penunggang-motosikal-maut-kemalangan-1.740311
Sunday, October 1, 2017
Anggota Polis Skudai Maut
JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang dipandu seorang remaja di Kilometer ke 24 Johor Bahru menghala Pontian.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah malam itu, mangsa, Rashkhairul Aqil Raszali, 23 yang bertugas di Balai Polis Skudai meninggal dunia ditempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.
Ketua Polis Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana mangsa gagal mengelak sebuah kereta yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.
"Mangsa difahamkan dalam perjalanan pulang selepas tamat tugas sentri lokap di Balai Polis Skudai. Ketika kejadian mangsa berada di lorong kanan gagal mengelak sebuah kereta jenis Produa Myvi yang tiba-tiba memasuki laluannya.
"Berdasarkan daripada maklumat, pemandu kereta berusia 20 tahun itu dipercayai mahu membuat pusingan U ketika kejadian. Kami juga memeriksa keadaan jalan yang mana ketika itu cuaca baik serta mempunyai lampu jalan," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Noor Hashim berkata, pemandu kereta tersebut kemudiannya ditahan reman tiga hari bermula semalam, selepas tampil di balai polis berhampiran sejurus selepas kejadian.
"Pemandu mempunyai lesen memandu tetapi kita akan lakukan siasatan lanjut berhubung kejadian ini. Orang awam yang mempunyai maklumat juga dimohon untuk memberi kerjasama bagi membantu siasatan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/johor/anggota-polis-maut-rempuh-kereta-1.737215
Subscribe to:
Posts (Atom)