loading...

Monday, September 30, 2013

Remaja maut



30 September 2013
KUANTAN - Seorang pemuda maut selepas kereta jenis Perodua MyVi yang dipandunya terbabas di Kilometer 80.4 Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Taman Hijau Karak, awal pagi ini.

Mangsa, Chan Ka Fei, 18, dari Taman Bunga Raya, Karak, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Pemangku Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Asisten Superitendan Zainalabidin Othman berkata, dalam nahas pada 5.30 pagi itu, mangsa memandu sendirian dari arah Bentong ke pekan Karak.

"Di tempat kejadian, mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum melanggar tunggul kayu dan keretanya terbalik di atas jalan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, seorang murid Tahun Enam terbunuh selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung sebuah kereta di Kilometer 1 Jalan Terpai-Pekan pada kira-kira 9.30 pagi.

Zainalabidin berkata, dalam kejadian itu, pemandu kereta terbabit Roslan Ya’acob, 47, dan isterinya, 40-an, dalam perjalanan dari arah Temerloh menuju Pekan.

"Sampai tempat kejadian, tiba-tiba motosikal mangsa yang ditunggang laju telah masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung kereta tersebut.

"Mangsa mati di tempat kejadian manakala pemandu dan isterinya hanya cedera ringan serta dihantar ke Klinik Kesihatan Chini untuk rawatan lanjut,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa tidak memakai topi keledar atau memiliki lesen memandu yang sah semasa kejadian.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama


Sumber:
kosmo.com.my/
sinarharian.com.my/edisi/pahang/remaja-maut-langgar-tunggul-1.206924



Anggota Polis parah dirempuh



30 September 2013
SERDANG - Seorang anggota polis cedera parah selepas dirempuh sebuah motosikal ketika menjalankan operasi sekatan jalan raya  di lorong motosikal Lebuhraya Utara Selatan (Plus) dari arah Kuala Lumpur menghala ke Seremban petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, Lans Koperal Mohd Faizal Mohd Taib dari Cawangan Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang patah kaki kanan akibat rempuhan itu.

Katanya, kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika Mohd Faizal bersama tujuh anggota dan seorang pegawai polis membuat sekatan jalan raya berhampiran Plaza Tol Sungai Besi.

Abd Razak berkata, sebuah motosikal jenis Yamaha 125 LC berwarna hitam merah dinaiki seorang lelaki tiba-tiba membuat pusingan U dengan cara melawan arus untuk melarikan diri selepas melihat dan menyedari kehadiran polis di lokasi kejadian.

Sedar akan tindakan spontan menyalahi undang-undang yang dilakukan lelaki berkenaan itu, Mohd Faizal yang bertindak sebagai anggota ‘cut off’ cuba memberhentikan penunggang motosikal terbabit.

“Malangnya penunggang motosikal itu tidak memberhentikan kenderaan sebaliknya merempuh Mohd Faizal pada bahagian kaki di sebelah kanan sebelum melarikan diri,” katanya selepas melawat mangsa yang mendapat rawatan di Hospital Serdang, semalam.

Kes dibuka dan disiasat di  bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan terperinci masih dijalankan dan polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian segera berhubung dengan hotline IPD Serdang di talian 03-80620458 untuk membantu siasatan.


Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/polis-parah-dirempuh-1.207036




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my