loading...
Saturday, August 24, 2013
Mekanik maut diseret treler 300 meter
24 Ogos 2013
KEPALA BATAS 24 Ogos - Seorang mekanik maut dalam keadaan tragis apabila dia cedera parah digilis sebuah treler di Kilometer 123.1 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran susur keluar Bertam di sini petang ini.
Kejadian berlaku pukul 1.56 petang ketika mangsa, Lam Siong Yew, 40-an berasal dari Kepong, Selangor menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Sungai Dua menghala ke Kepala Batas menunggang motosikal berseorangan.
Mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya selepas merempuh bahagian tepi belakang sebuah kereta Proton Savy yang berhenti di tepi laluan itu.
Akibat rempuhan itu motosikal dinaiki mangsa terbabas dan mangsa terjatuh di atas laluan berkenaan menyebabkan sebuah treler datang dari arah belakang gagal mengelak lalu merempuh mangsa dan mengheretnya sejauh hampir 300 meter.
Pemandu treler itu memberhentikan kenderaannya dan mendapati mangsa tersepit di bahagian tayar kenderaannya.
Menurut jurucakap polis, mangsa yang terperosok di bawah motosikal meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka, kepala serta beberapa bahagian lain.
Kemalangan itu mengakibatkan berlaku kesesakan teruk selepas plaza tol Sungai Dua semasa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.
Sumber:
utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130825/dn_13/Mekanik-maut-diseret-treler
nst.com.my/latest/mechanic-killed-in-crash-in-nse-in-kepala-batas-1.343234
Pemandu lori maut
24 Ogos 2013
BATU PAHAT – Seorang pemandu maut setelah lori satu tan yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 76, Lebuh raya Utara Selatan (PLUS).
Kejadian kira-kira jam 11.10 pagi berhampiran Ayer Hitam–Machap itu menyebabkan mangsa, See Lam, 73, maut di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian badan serta kepala.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, mangsa bersama dengan seorang kelindan yang identiti mangsa masih disiasat, dipercayaiadalam perjalanan dari Muar menuju ke arah Johor Bahru.
Menurutnya, ketika menghampiri lokasi kejadian, lori yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan melanggar pengadang di sebelah kanan sebelum kenderaan berkenaan terbalik.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk dibedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya,” katanya.
Din berkata, kelindan lori berkenaan yang berumur sekitar 40an itu juga cedera parah dan kini dirawat di HSNI.
Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 .
"Sesiapa yang melihat atau mempunyai maklumat diminta untuk tampil bagi membantu siasatan.
“Bagi mengelakkan kejadian kemalangan seperti ini berlaku, orang awam dinasihatkan supaya memandu kenderaan secara berhemah dan lebih berhati-hati,” katanya
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/kemalangan-pemandu-lori-maut-1.195081
Subscribe to:
Posts (Atom)