loading...

Sunday, July 21, 2013

Tercampak 15 meter



21 Julai 2013
TAMPIN – Seorang peniaga cincau pasar awam maut apabila motosikal jenis Yamaha 80 yang dinaikinya tercampak sejauh 15 meter dalam kemalangan di kilometer satu, jalan pintas Tampin-Alor Gajah, dekat sini, pagi semalam

Dalam kejadian kira-kira 6.20 pagi itu, mangsa Chin Ah Moy @ Chin Siew Lang, 68, maut di tempat kejadian setelah cedera parah di anggota badan dan kaki sebelah kanannya hancur.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk proses bedah siasat.

“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Minang dan ingin melintasi jalan utama antara Tampin ke Alor Gajah menuju ke laluan pintas ke pasar awam yang terletak di Tampin.

“Bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa berlanggar dengan sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia lingkungan 40-an yang datang dari arah Tampin menyebabkan motosikal mangsa tercampak sejauh kira-kira 15 meter," katanya.

Katanya, mangsa yang terjatuh cedera parah dan maut di tempat kejadian.

"Saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222," katanya.

Sementara itu, abang ipar mangsa, Chong Song Kwi, 73, berkata, dia menerima panggilan daripada anaknya sekitar jam 7 pagi memaklumkan adik iparnya maut selepas terbabit dalam kemalangan.

“Memang kebiasaannya pada setiap hari mendiang pergi ke pasar awam untuk berniaga cincau. Kadangkala mendiang naik kereta dan ada kalanya naik motosikal bergantung kepada siapa yang membawa barangan jualan.

“Pada hari kejadian, salah seorang ahli keluarga mendiang sudah pergi ke pasar seawal jam 4.30 pagi bagi menjual cincau dan mendiang menyusul kemudian selepas jam 6 pagi," katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/peniaga-cincau-maut-motosikal-tercampak-15-meter-1.184972



2 maut nahas empat kenderaan




Inalillahi wainailaihi rojiun

21 Julai 2013
JENGKA 19 - Dua maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 28.9 Jalan Temerloh-Bandar Jengka, kira-kira jam 7.20 pagi semalam.

Kemalangan membabitkan sebuah lori amang, dua kereta Proton Iswara dan Wira serta sebuah Proton Ixora.

 Mangsa yang maut di tempat kejadian ialah penumpang Proton Ixora, Nor Syahidah Mohamed Zuki, 21, penuntut tahun akhir kursus Pengurusan Pejabat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Jengka.

Seorang lagi mangsa yang merupakan pemandu Proton Iswara, Mohamad Nor Abdillah Ismail, 25, dari Felda Lakum, Lanchang meninggal dunia dalam perjalanan ke Hopital Jengka.

Bapa Nor Syahidah, Mohamed Zuki Mat Ali, 50, berkata, mangsa bersama bapa saudaranya, Sabaruddin Hussin, 46, dalam perjalanan ke Temerloh.

“Kak Chik (Nor Syahidah) akan mengambil peperiksaan MUET (Malaysia University English Test) pagi ini di Temerloh. Dia yang tinggal di asrama pergi dengan bapa saudaranya mungkin sebab secara kebetulan bapa saudaranya juga hendak ke Temerloh,” katanya.

Ibu Nor Syahidah, Latifah Din, 40, berkata, kebiasaannya Nor Syahidah akan memintanya menghantar ke tempat ujian berkenaan.

“Ini kali kedua dia ambil ujian. Kali pertama saya yang hantar. Pagi ini (semalam) saya tunggu juga dia telefon, tapi tiada panggilan daripadanya.

“Saya anggap dia mungkin menjalani ujian di universiti, jadi saya buat biasa sahaja. Pagi ini, ada orang dari syarikat trak tunda beritahu anak saya kemalangan,” katanya.

Difahamkan, Sabaruddin kini berada dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) Temeloh.

Saksi kejadian yang merupakan pemandu Proton Wira, Mohd Yusof Mat Yasin, 64, berkata, dia dan anaknya, Mohd Asyraf Mohd Yusof, 24, dalam perjalanan dari Felda Jengka 14 ke Felda Kampung Awah.

 “Keadaan kabus pagi ini (semalam) agak tebal, memang tak berapa nampak jalan. Tiba-tiba datang kereta Proton Iswara di hadapan kereta saya. Kereta Proton Iswara tersebut berpusing sebelum mengenai bahagian hadapan kereta saya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Maran, Pemangku Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, kejadian berlaku apabila Proton Iswara melanggar tangki minyak lori amang yang datang dari Jalan Temerloh ke Bandar Jengka sebelum melanggar Proton Wira.

“Lori amang tersebut kemudian terbabas ke kanan jalan lalu melanggar Proton Ixora sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya.

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/2-maut-nahas-empat-kenderaan-1.184951



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my