loading...

Saturday, March 30, 2013

Maut tertusuk besi




31 Mac 2013
SEREMBAN – Seorang wanita menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila lehernya tertusuk sebatang besi sepanjang setengah meter yang dipercayai terpelanting dari sebuah lori arah bertentangan ketika sedang memandu di Jalan Batu 8, Kampung Nyatoh, semalam.

Dalam kejadian  jam 10.45 pagi itu, mangsa, V Inthirani, 50, bersama adiknya, V Thilaga, 32, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Taman Bunga Sejati kira-kira satu kilometer dari lokasi kejadian.

Thilaga  berkata, sebelum kejadian, dia menyedari kereta mereka berselisih dengan sebuah lori satu tan yang tidak membawa muatan.

"Bagaimanapun, secara tiba-tiba, saya lihat satu objek panjang berwarna hitam terpelanting ke arah kereta kami sebelum menembusi cermin bahagian hadapan.

"Pada masa sama, kereta dipandu kakak hilang kawalan dan berpusing sebelum terhenti di tepi jalan," katanya.

Thilaga berkata, semuanya berlaku dalam sekelip mata dan apabila menoleh ke kanan, dia tergamam melihat baju Inthirani berlumuran darah sambil dia memegang sebatang besi yang terpacak di lehernya.

"Ketika itu kakak berada dalam keadaan separuh sedar. Saya menjerit sekuat hati meminta tolong sebelum beberapa pengguna jalan raya dan penduduk berhampiran datang menghulurkan bantuan," katanya.

Bagaimanapun, menurut Thilaga, dia hanya mampu menangis apabila orang ramai memberitahu kakaknya sudah tidak bernyawa.

“Peristiwa itu berlaku terlalu pantas dan saya sangat sedih kejadian yang tidak disangka-sangka itu meragut nyawa kakak saya.

“Malah paling menyedihkan, cuma beberapa minit saja lagi kami sepatutnya dah sampai ke rumah," katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah mengesahkan menerima laporan kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan.

Katanya, pihaknya kini sedang mengesan lori yang terlibat dan sesiapa yang menyaksikan kejadian itu diharap dapat menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat sebelum diserah kepada keluarganya untuk urusan pengebumian,” katanya.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/semasa/wanita-maut-leher-tertusuk-besi-1.144490

Friday, March 29, 2013

Tragedi Rombongan Meminang




30 Mac 2013
BALING - Sebuah keluarga yang dalam perjalanan pulang dari majlis meminang nyaris maut dalam kemalangan di Kilometer 38 Jalan Sungai Petani-Baling kira-kira jam 11.30 malam, kelmarin.

Keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Perlis selepas menghadiri majlis meminang salah seorang keluarga mereka di Felda Kemahang, Tanah Merah, Kelantan.

Salah seorang keluarga, Johari Osman, 69, dari Kampung Gua Said Alwi, Perlis berkata, terdapat 13 penumpang di dalam van yang dinaiki mereka.

Dia yang juga penumpang hadapan van itu tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala, 10 ahli keluarganya yang lain hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, van yang dinaiki penumpang terbabit dirempuh  oleh sebuah kenderaan lain dari arah bertentangan.

Menurutnya, sebuah kereta dari arah Sungai Petani-Baling dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing sehingga memasuki laluan bertentangan.

“Keadaan itu mengakibatkan rempuhan antara kereta dan van tersebut. Manakala, sebuah kenderaan lain yang berada di belakang van tersebut gagal mengelak seterusnya merempuh bahagian belakang van tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kesemua mereka yang terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut.

Jalan Sungai Petani - Baling berdekatan Kampung Ketemba sering terlibat dalam kejadian kemalangan. Tahun ini sahaja, lebih dari tiga kemalangan maut dilaporkan di kawasan jalan itu.

Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/rombongan-meminang-nyaris-maut-1.144232


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my