loading...
Monday, February 18, 2013
Maut tersepit
18 Februari 2013
KULIM - Seorang lelaki maut, manakala isteri dan anaknya berusia setahun cedera parah apabila kereta Proton Wira yang dinaiki tiga beranak itu bertembung dengan sebuah kereta Honda City yang datang dari arah bertentangan di Jalan Titi Karangan, di sini, malam semalam.
Ketua Polis Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 malam apabila keluarga malang itu dalam perjalanan dari Baling ke Kulim.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta Honda terbabit yang datang dari arah Kulim memotong kenderaan di hadapannya sebelum merempuh kereta mangsa.
“Dipercayai kedua-dua kereta dipandu laju berdasarkan kerosakan yang berlaku pada kedua-dua kenderaan terlibat.
“Dari maklumat diterima, kereta Honda yang dipandu seorang lelaki berusia 30-an, cuba memotong kereta di hadapannya, tetapi gagal lalu bertembung kereta mangsa.
“Akibat rempuhan kuat, mangsa tersepit di tempat duduk pemandu, manakala anak dan isterinya berjaya dikeluarkan dan dikejarkan ke Hospital Kulim untuk rawatan kecemasan,” katanya.
Ghuzlan berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit, bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Menurutnya, pemandu kereta Honda itu turut mengalami kecederaan apabila kakinya patah dalam kemalangan itu dan dia kemudiannya dihantar ke Hospital Kulim sebelum dipindahkan ke hospital swasta di Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.
“Sehingga kini tidak ada sebarang laporan polis dibuat daripada mana-mana mangsa terlibat kerana mereka masih menerima rawatan,” katanya.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/utara/maut-tersepit-di-tempat-pemandu-1.132126
Rempuhan U-turn
18 Februari 2013
REMBAU – "Saya terkejut tiba-tiba kereta di hadapan saya mahu buat U-turn," kata pemandu lori, A.Vickness, 23, yang terbabit dalam kemalangan di pekan Pedas, dekat sini, semalam.
Menurutnya, dia sempat membunyikan hon sebaik saja melihat kereta Perodua Kelisa di hadapannya mahu membuat pusingan U.
“Saya sempat membunyikan hon kerana terkejut, tetapi tidak sempat mengelak lalu merempuhnya,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira 1.45 petang itu, Vickness dalam perjalanan dari arah Tampin menuju ke Seremban untuk menghantar muatan 11 ekor lembu di Kampung Ulu Rantau, Sungai Gadut.
Katanya, ketika itu dia ditemani abangnya dan hanya memandu secara perlahan sahaja memandangkan dia membawa muatan yang berat.
“Bagaimanapun, secara tiba-tiba ada kereta di hadapan yang ingin membuat pusingan dan saya tidak sempat mengelak. Selepas berlanggar, saya cepat-cepat keluar bagi melihat keadaan mangsa.
“Saya cemas dan kini masih lagi terkejut dengan kejadian ini" katanya.
Vickness berkata, tiga penumpang dalam Perodua Kelisa itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, pemandu berkenaan bersama dua anaknya selamat, bagaimanapun masih trauma dengan kejadian itu.
Sumber:
http://www.sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/terkejut-tiba-tiba-dia-buat-u-turn-1.132211
Subscribe to:
Posts (Atom)