loading...
Sunday, September 30, 2012
Remuk dirempuh Saga
30 September 2012
RANTAU PANJANG – Seorang lelaki tidak menduga dentuman kuat yang didengari ketika sedang minum di sebuah kedai di KM 4 Rantau Panjang Pasir Mas petang semalam, turut melibatkan kereta miliknya.
Ramli Zakaria, 62, berkata, 15 minit sebelum kejadian, dia meletakkan keretanya di bawah pokok kira-kira 10 meter dari kedai berkenaan.
Menurutnya, dia bergegas mendapatkan keretanya sejurus mendengar bunyi dentuman tersebut yang hanya terletak beberapa meter sahaja dari mejanya.
“Sebaik mendengar bunyi kuat, saya memerhati ke arah jalan untuk mencari arah bunyi tersebut.
“Ketika melihat ke tempat letak kereta, saya baru sedar ada kereta Wira yang merempuhnya kerana rosak teruk dan berubah kedudukannya,” katanya kepada Sinar Harian, petang semalam.
Ramli berkata, akibat rempuhan tersebut, keretanya tersekat pada tiang kedai.
Menurutnya, bahagian hadapan dan belakang Proton Saganya remuk.
“Saya jangkakan perlu mengeluarkan perbelanjaan lebih RM5,000 untuk membaikinya,” katanya.
Sementara itu, pemandu dipercayai merempuh kereta mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, Proton Wira yang terjatuh ke longkang, remuk pada bahagian hadapan.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/saga-remuk-dirempuh-wira-1.89980
Saturday, September 29, 2012
Enjin kereta meletup
29 September 2012
KULIM - Seorang lelaki berusia 40-an nyaris maut apabila enjin keretanya meletup dalam kejadian berhampiran sebuah restoran dekat sini, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.
Menurut saksi yang berada di tempat kejadian, mangsa dilihat masuk ke dalam keretanya setelah selesai makan malam di restoran berkenaan.
"Sebaik sahaja mangsa mengundurkan kenderaannya, satu letupan kuat berlaku di bahagian hadapan kereta.
"Bagaimanapun tidak ada mangsa yang mengalami kecederaan serius," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang diletakkan berhampiran premis berkenaan yang didapati meletup secara tiba-tiba.
Menurutnya, mangsa selesai makan malam bersama keluarganya dan ingin balik ke rumah mereka di Taman Kenari dekat sini.
"Sebaik sahaja kenderaan mereka bergerak, satu letupan kuat kedengaran di bahagian hadapan kereta.
"Kejadian ini membuatkan ramai dalam kalangan pelanggan yang berada di tempat kejadian bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri," katanya kepada Sinar Harian.
Ghuzlan berkata, dari pemeriksaan dijalankan terhadap kenderaan mangsa, polis mendapati tidak berlaku sebarang perlakuan jenayah atau khianat.
"Letupan itu berpunca dari kerosakan kotak gear kereta itu.
"Bagaimanapun orang awam yang mengalami kecederaan ringan akibat terkena serpihan kenderaan itu dihantar ke Hospital Kulim untuk mendapat rawatan,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/nyaris-maut-enjin-meletup-1.89767
Subscribe to:
Posts (Atom)