Inalillahi wainailaihi rojiun
KEDAH - “Saya tidak menyangka nasihat ibu supaya cepatkan berkahwin sebelum ini adalah yang terakhir,” kata Mohd Naim Che Isa, 24, anak sulung kepada Rohana Junus, 43, yang maut dalam kemalangan di Jalan Baru Kupang-Baling kira-kira jam 9.30 malam, kelmarin.
Mohd Naim yang tinggal dan bekerja di Perda, Pulau Pinang itu berkata, ibunya sering menasihatinya sebelum ini terutama melibatkan soal masa hadapannya.
“Ibu suruh cepatkan perkahwinan kerana mahu lihat saya bahagia. Disebabkan itu, ibu sering nasihatkan saya menyimpan wang untuk perkahwinan kelak,” katanya.
Menurutnya, dia terkilan kerana tidak berhari raya bersama ibunya pada tahun ini setelah ibunya pulang ke rumah neneknya di Kulim.
“Kali terakhir jumpa ibu pada awal bulan ini sehinggalah saya mendapat panggilan yang ibu terbabit dalam kemalangan,” katanya.
Mangsa yang berasal dari Kampung Rambong, Pulai itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas membeli keperluan harian di pekan berhampiran.
Mangsa yang menunggang motosikal dipercayai dirempuh dari arah belakang oleh sebuah kereta mengakibatkannya terjatuh di tengah jalan.
Keadaan jalan yang gelap mengakibatkan mangsa dilanggar dua kereta berlainan yang melalui jalan berkenaan.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang merupakan ibu tunggal selepas kematian suami sejak tiga tahun lalu meninggalkan tiga anak dan mayat dihantar ke Hospital Baling untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Rambong, Pulai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan yang dihubungi mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/utara/nasihat-anak-cepat-kahwin-sebelum-maut-kemalangan-1.82582
loading...
Thursday, September 6, 2012
2 pengurus Felda Gugusan Tersang maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
RAUB – Dua pengurus Felda Gugusan Tersang meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung dengan jip Jabatan Perhutanan di Kilometer 327 Jalan Raub-Tersang kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
Kedua-dua mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang setelah menghadiri majlis sempena meraikan bakal haji di samping sambutan Aidilfitri dekat Felda Lurah Bilut.
Pengurus Felda Tersang Dua, Abdul Rahim Mat Jabri, 50-an, mengalami kecederaan parah, tetapi sempat dibawa ke Klinik Kesihatan Tersang terlebih dahulu sebelum meninggal dunia di sana, sementara Pengurus Felda Tersang Tiga, Abd Jalil Jamaluddin, 40-an, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Wan Mohd Samsudin Wan Osman berkata, kenderaan dipandu Abdul Jalil bersama Abdul Rahim bertembung dengan jip dinaiki empat kakitangan Jabatan Perhutanan yang dalam perjalanan dari arah Tersang.
Menurutnya, pertembungan dipercayai berlaku apabila kenderaan mangsa terbabas ke laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Dong, Datuk Shahiruddin Ab Moin yang tiba di pekarangan Rumah Mayat Hospital Raub ketika ditemui berkata, baru sahaja beberapa hari lalu beliau menemui mangsa dalam majlis keraian.
Katanya, berita kematian diterimanya itu amat mengejutkan dan tidak diduga, tetapi beliau pasrah dengan ketentuan ALLAH.
“Saya dimaklumkan Abd Rahim akan menunaikan ibadah haji pada pertengahan bulan ini, tetapi hasratnya tidak kesampaian.
“Kedua-dua mangsa juga difahamkan baru pulang daripada majlis sempena meraikan bakal haji di samping Sambutan Aidilfitri dekat Felda Lurah Bilut,” katanya.
Beliau berharap keluarga kedua-dua mangsa tabah menghadapi dugaan itu dan dapat menempuhi hari mendatang dengan sabar.
Jenazah kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Johor sebaik sahaja selesai bedah siasat.
Sementara itu, Penyelia Felda Tersang Dua, Mohd Izmi Deraman berkata, Abd Rahim seorang ketua berdedikasi dan komited terhadap sebarang tanggungjawab dipikulnya.
Menurutnya, setiap program yang memerlukan kehadiran dan perhatiannya pasti akan cuba dilaksanakan sebaik mungkin.
“Kami benar-benar kehilangan. Setiap ilmu serta pengalaman ketika bersamanya akan menjadi bekalan meneruskan amanah.
“Diharapkan roh kedua-dua ketua berdedikasi ini mendapat rahmat ALLAH dan bersama golongan mukmin,” katanya.
Mohd Izmi berkata, lazimnya Abd Rahim akan memintanya memeriksa jadual aktiviti setiap hari dan memaklumkan semula untuk tindakan lanjut.
Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan ketuanya itu untuk memaklumkan program yang perlu dihadiri dekat Lurah Bilut.
“Saya ada memeriksa jadual dan mengesahkan terdapat program pada hari ini (semalam), lalu menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk memaklumkannya.
“Selalunya dia akan balas SMS saya walaupun pada sebelah malam, tetapi tidak pada malam tadi (kelmarin). Dia hanya senyap sehingga saya mendapat tahu mengenai kemalangan menimpanya,” katanya.
Sinar Harian yang tiba di pekarangan rumah mayat Hospital Raub mendapati ramai tetamu terdiri daripada pemimpin setempat menziarahi jenazah termasuk Pegawai Daerah, Datuk Ismail Mohd Ali; Pengarah Hospital Raub, Dr Kamariah Ghazali dan Adun Batu Talam.
Turut hadir memberi penghormatan terakhir, Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Jahya Janal; Timbalan Pengurus Besar Felda Wilayah Mempaga, Amir Hamdan Yusof dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Bahagian, Jariah Hashim.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/semasa/2-pengurus-felda-maut-kenderaan-tembung-jip-jabatan-perhutanan-1.82543
Subscribe to:
Posts (Atom)