loading...
Sunday, August 12, 2012
Mantan Adun Kuala Sentul Kemalangan
12 Ogos 2012
MARAN - Operator Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Jengka 6, Datuk Nazri Othman dan isterinya terlibat dalam kemalangan apabila kenderaan dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 98 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat Bukit Genting, semalam.
Walau bagaimanapun, Nazri yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sentul itu tidak mengalami kecederaan parah, namun isterinya, Manisah Hamzah, 62, patah kaki kanan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari itu, kereta jenis Mercedes dipandu Nazri bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dari arah bertentangan yang sedang menuruni selekoh di lokasi kejadian.
Menurutnya, pacuan empat roda dipandu seorang vendor kilang, J Pushanathan, 35, dalam perjalanan dari Karak menuju ke kilang sawit dekat Pekan Tajau itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.
“Keadaan itu menyebabkan pacuan empat roda membawa perkakas mesin terbabit bertembung dengan kereta dinaiki pasangan suami isteri berkenaan. Pemandunya tidak mengalami kecederaan parah, tetapi cedera di bahagian kaki.
“Ketiga-tiga mangsa menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas),” katanya.
Sulaiman berkata, siasatan awal mendapati pacuan empat roda itu terbabas dipercayai berpunca daripada kegagalan tayar hadapan berfungsi dengan baik.
Menurutnya, pasangan suami isteri itu difahamkan dalam perjalanan ke Hoshas untuk menziarahi Ketua Wanita Umno Cawangan Jengka 3, Rahimah Abdul Rahman.
Rahimah menerima rawatan kerana terlibat dalam kemalangan pada Rabu lalu apabila kenderaan dinaiki bersama seorang rakan terbabas berdekatan Kampung Jengka Batu 13.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-kenderaan-bertembung-1.75807
Setengah jam Tersepit
12 Ogos 2012
SUNGAI CHOH, Hulu Selangor - Seorang pemandu lori terpaksa menahan kesakitan lebih setengah jam sebelum dapat diselamatkan akibat tersepit di tempat duduk pemandu setelah lori muatan itik beku dipandu melanggar belakang lori pasir di persimpangan Kilang Perodua di sini petang semalam.
Bagaimanapun mangsa, V Ravichandran, 46, hanya mengalami cedera di kedua belah kaki dan tangan kanan sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.
Menurut seorang daripada dua kelindannya, Gunasegaran, 26, kejadian itu berpunca daripada kerosakan brek ketika hendak berhenti di lampu isyarat di persimpangan tersebut.
“Brek rosak. Kami tak sempat elak dan terus langgar dari belakang lori,” katanya yang mengalami luka di mulut akibat hentakan.
Jelasnya, mereka dalam perjalanan pulang ke Pulau Pinang setelah menurunkan muatan itik beku di Kuala Lumpur malam kelmarin.
Katanya, ketika tiba di tempat kejadian mereka telah memperlahankan kenderaan namun kerosakan brek menyebabkan pelanggaran dengan lori muatan pasir yang berhenti di hadapan.
Gunasegaran berkata, akibat pelanggaran itu, bahagian depan lori dinaiki remuk dan Ravichandran tersepit di tempat duduk pemandu manakala dia dan seorang lagi kelindan, Ramesh, 22, hanya cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan mangsa.
Noor Azhar berkata, anggota bomba terpaksa menggunakan lori pasir terbabit untuk menarik bahagian hadapan lori yang remuk bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Bahagian hadapan lori yang remuk telah menghimpit kaki mangsa.
"Kita terpaksa menggunakan khidmat lori pasir terbabit untuk menarik bahagian tersebut bagi memudahkan usaha mengeluarkan mangsa,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/setengah-jam-tahan-sakit-1.75746
Subscribe to:
Posts (Atom)