loading...
Saturday, July 21, 2012
Lans Koperal Maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
Kuala Terengganu: Ramadan tahun ini paling pilu buat keluarga seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal yang maut apabila kereta dipandunya terbabas dan merempuh tiang elektrik di Jalan Sultan Mahmud, di sini, semalam.
Mohd Shahrizal Muhammad, 30, dari Kampung Wakaf Tembusu, di sini, meninggal dunia kira-kira jam 5.30 pagi di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) akibat kecederaan parah pada kepala dan bahagian dalaman badan, kira-kira dua jam selepas kejadian sekitar jam 3.05 pagi.
Kejadian itu turut merosakkan lima kenderaan iaitu dua kereta dan tiga motosikal di tempat kejadian.
Tinggal barang
Mangsa yang memandu Proton Inspira dalam perjalanan dari rumahnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk bertugas sebelum tiba-tiba berpatah balik ke rumahnya di Kampung Tok Adis, dipercayai mahu mengambil barang yang tertinggal.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsudin, berkata kereta dipandu mangsa terbabas dan merempuh pembahagi jalan lalu melanggar tiang elektrik dan terperosok ke dalam kedai makan.
“Mangsa meninggal dunia di HSNZ ketika menerima rawatan kecemasan dan kejadian disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Isteri mangsa, Wan Ezereen Wan Jaafar, 30, berkata, beliau pelik apabila suaminya tidak mengejutkannya sebelum keluar rumah untuk bertugas jam 3 pagi.
“Biasanya beliau mengejutkan saya sebelum meninggalkan rumah. Saya tahu mengenai kejadian menimpa suami selepas menerima panggilan polis yang memaklumkan kejadian.
“Kejadian ini satu dugaan besar buat saya dan dua anak, Muhammad Adam Danial, 7, dan Amanda Lia Hana, 3, apatah lagi ketika umat Islam bersedia menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi,” katanya.
Ibu mangsa, Rabuah Mohd Noor, 58, yang ditemui di rumahnya di Kampung Wakaf Tembesu tidak menyangka hasrat untuk meraikan kedatangan Ramadan bersama arwah dan keluarganya tidak kesampaian.
Al-Fatihah
Sumber:
bharian.com.my/bharian/articles/Peliksuamitakkejuttidur/Article/artikel
hmetro.com.my/myMetro/articles/Dentumangegardapur/Article/index_html
Empat individu rentung
JEMPOL: Empat individu rentung selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka bertembung sebuah lori tangki sebelum terbakar di Kilometer 37, Jalan Keratong-Bahau, dekat sini, petang semalam.
Difahamkan, dalam kejadian jam 4 petang itu, semua mangsa yang belum dikenal pasti identiti, maut di tempat kejadian, manakala pemandu lori diesel terbabit yang turut cedera dapat menyelamatkan diri.
Jurucakap polis berkata, ketika kejadian, mangsa yang menaiki kenderaan pacuan empat roda Nissan Navara dalam perjalanan dari Bahau ke Keratong, Pahang, manakala lori tangki itu dari arah bertentangan menghala ke Felda Serting.
Menurutnya, difahamkan, pemandu lori tangki terbabit cuba membelok di tempat kejadian selepas satu objek dipercayai tayar ganti terjatuh.
Bagaimanapun, katanya, lori tangki itu dipercayai terbabas lalu merempuh pacuan empat roda dinaiki keempat-empat mangsa menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbakar.
“Pertembungan itu menyebabkan tiga mangsa rentung akibat tersepit dan gagal keluar apabila kenderaan itu terbakar, manakala seorang mangsa dikatakan tercampak keluar di bawah kereta dan turut rentung.
“Bagaimanapun, pemandu lori terbabit yang cedera berjaya keluar dari kenderaannya,’’ katanya.
Menurut jurucakap itu, siasatan polis mengesyaki keempat-empat mangsa terbabit adalah dari satu keluarga, namun masih menunggu laporan bedah siasat lanjut kerana identiti mereka gagal dikenal pasti kerana rentung sama sekali.
Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu, namun tidak dapat mengulas lanjut kerana belum menerima laporan lengkap.
Sumber:
hmetro.com.my/articles/Empatrentung/Article
Subscribe to:
Posts (Atom)