loading...
Saturday, April 14, 2012
Jangan tergesa-gesa memandu
KANGKONG – Seorang lelaki menemui maut, apabila kereta yang dipandu, terbabas dan melanggar stor di Kampung Bulug Melintang, jam 5.30 petang, kelmarin.
Mangsa, Tan Meng Lee, 51, meninggal dunia di tempat kejadian, apabila kereta Vios yang dipandu mangsa, dihempap tiang elektrik sejurus selepas kemalangan.
Sementara itu, mangsa lain, Ong, 54, berkata, dia yang memandu seorang diri dari arah Pasir Mas ke Chekok, terkejut apabila Meng Lee, cuba memotongnya dari arah belakang.
“Mangsa tidak sempat memotong, seterusnya melanggar kereta saya dan terbabas ke stor di sebelah kiri,” katanya.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, Meng Lee tidak dapat dikeluarkan kerana dikelilingi oleh wayar elektrik yang masih aktif.
“Kita dapati terdapat botol tuak berada berdekatan mangsa dan kita masih menyiasat sama ada mangsa mabuk ketika memandu. Meng Lee mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala dan dipercayai tidak memakai tali keledar,” katanya.
Menurutnya, ini merupakan kejadian pertama kemalangan membawa maut di jalan Pasir Mas-Tanah Merah, tahun ini.
Beliau menasihati semua pengguna jalan raya, agar tidak memandu dengan tergesa-gesa dan mematuhi undang-undang jalan raya.
Pegawai Kanan Bomba II (PBK), Azuhan Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.50 petang.
Seramai tujuh anggota dengan satu jentera, bergegas ke tempat kejadian dan terpaksa menunggu laporan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebelum menyelamatkan mangsa yang tersepit.
“Setelah kawasan kemalangan disahkan selamat daripada arus elektrik, kita berjaya mengeluarkan mangsa pada jam 6.33 petang,” katanya.
Sementara itu, saksi, Zohar Mat Zain, 57, berkata, ketika kejadian, dia sedang membaiki lori bersama tiga lagi pekerjanya.
“Tiba-tiba saya terdengar dentuman kuat dan melihat kereta Vios yang dipandu mangsa, melanggar stor manakala kereta Nissan terbabas lebih 200 meter ke hadapan. Mujurlah kemalangan tidak berlaku di kedai saya, kerana ia terletak hanya beberapa meter daripada stor,” katanya.
Kejadian menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh satu kilometer dari kedua-dua arah, sehingga jam 6.45 petang.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/maut-langgar-stor-dihempap-tiang-elektrik-1.40041
Friday, April 13, 2012
Bayi dan Suami Maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
ALOR GAJAH - Seorang isteri sanggup mempertaruhkan nyawanya menarik mayat suaminya di tengah jalan selepas tercampak daripada kenderaan dinaiki dalam kemalangan di Kilometer 201.9, Lebuhraya Utara Selatan, menghala ke selatan, di sini, malam kelmarin.
Lebih menyayat hati, suaminya turut dirempuh sebuah kenderaan lain sebelum itu, sementara bayi perempuan mereka berusia setahun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, van jenis Toyota dipandu mangsa, Sajarhan Abdul Rahman, 30-an, bersama isterinya, Zaleha Rasul, 27, dan bayi mereka, Syaza NurQaireen, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka.
Bagaimanapun, van yang membawa muatan pakaian terpakai itu hilang kawalan, sebelum terbabas dan merempuh pembahagi lebuh raya, menyebabkan semua mangsa tercampak keluar dari cermin hadapan van ke laluan bertentangan.
Saudara mangsa, Mohamad Saral, 47, berkata, mangsa sekeluarga ke bandar Melaka untuk menghantar bekalan pakaian terpakai yang ditempah beberapa kedai.
Bagaimanapun menurutnya, tayar van terbabit meletup menyebabkan kenderaan itu terbabas.
“Isteri mangsa yang masih sedarkan diri selepas tercampak terus bangun dan menjerit meminta bantuan sambil menarik mayat suaminya ke tepi jalan.
“Sementara bayi mereka pula sudah dibawa ke hospital oleh orang awam,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad turut melahirkan rasa kesalnya dengan sikap segelintir pengguna jalan raya mengambil bungkusan pakaian terpakai yang bertaburan di atas jalan.
“Saya terkejut melihat mereka berhenti semata-mata mahu mengambil pakaian tersebut walaupun telah dihalang berbuat demikian,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin berkata, kemalangan berpunca daripada kenderaan yang hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan akibat tayar sebelah kiri bahagian belakang van meletup.
“Ketiga-tiga mangsa tercampak keluar ke laluan bertentangan sebelum mangsa dirempuh kenderaan lain.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/isteri-sanggup-pertaruh-nyawa-1.39816
Subscribe to:
Posts (Atom)