loading...
Tuesday, December 20, 2011
Mata Pelajaran Keselamatan Jalan Raya
JOHOR BAHRU – Kementerian Pengangkutan merancang memperkenalkan mata pelajaran mengenai keselamatan jalan raya di peringkat sekolah menengah berikutan kes kemalangan jalan raya yang semakin meningkat membabitkan remaja.
Menterinya, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, kesedaran remaja mengenai cara pemanduan berhemah masih rendah dan bercadang meningkatkan kesedaran mengenai isu itu melalui pendedahan di peringkat sekolah.
“Setakat ini kita telah menjalankan pelbagai kempen dan pendedahan mengenai pemanduan berhemah di peringkat sekolah rendah.
“Saya bercadang meluaskan silibus keselamatan jalan raya di peringkat sekolah menengah mulai tahun hadapan agar angka kemalangan jalan raya babitkan remaja dikurangkan,” katanya selepas melancarkan Malayan Tiger Train (MTT), semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes kemalangan yang menyebabkan empat remaja perempuan terbunuh di Jalan Johor Bahru-Mersing, Sabtu lalu.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Cho Ha berkata, bagi projek landasan berkembar Gemas-Johor Bahru, ia kini dalam proses mengagihkan pampasan kepada penduduk yang diarah berpindah bagi memberi laluan kepada projek itu.
“Projek ini akan mula dijalankan mulai tahun hadapan dan dijangka mengambil masa sehingga empat tahun bagi membina landasan berkembar sepanjang kira-kira 200 kilometer.
“Mengenai soal pampasan, semuanya berjalan dengan lancar dan tiada isu utama yang timbul malah terdapat sebahagian daripadanya yang sudah mula menerima wang pampasan yang dijanjikan,” katanya.
Cho Ha turut melahirkan penghargaannya kepada Kerajaan Negeri dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) yang berjaya menangani isu berbangkit dan soal pemindahan penduduk dengan lancar.
Sumber: sinarharian.com.my/edisi/johor/kementerian-cadang-subjek-keselamatan-jalan-raya-1.13558
Monday, December 19, 2011
Ditindih Tayar dan Masih Hidup
KUCHING: Dua sahabat terselamat walaupun terbenam selama setengah jam dalam lumpur akibat ditindih sebuah kereta yang merempuh mereka dalam kejadian di Batu 4, Jalan Penrissen di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kemalangan jam 1 pagi itu, mangsa yang masing-masing berusia 17 dan 21 tahun itu terselamat apabila motosikal dinaiki dirempuh kereta yang dipandu seorang wanita menyebabkan mereka terpelanting ke dalam longkang sebelum ditindih kenderaan berkenaan.
Menurut pemandu kereta berusia 37 tahun itu, ketika kejadian dia dalam perjalanan ke rumah seorang rakan di kawasan berkenaan sebelum merempuh motosikal mangsa ketika hendak membuat pusingan di Jalan Datuk Tawi Sli.
“Saya tidak menyedari terdapat sebuah motosikal di sebelah kereta saya ketika membuat pusingan untuk patah balik ke Batu 4, menyebabkan saya tidak sempat menekan brek dan merempuh mereka,” katanya.
Katanya, akibat gagal mengawal kenderaannya selepas rempuhan itu, keretanya terbabas ke dalam longkang di tepi jalan dan pada masa sama juga dua pemuda yang menunggang motosikal berkenaan terperangkap di bawah kereta.
“Saya terkejut apabila mendapati kedua-dua mangsa terbaring dalam longkang dan ditindih kereta saya. Mujur longkang itu kering, namun berlumpur dan mangsa dikeluarkan dengan bantuan bomba dan penyelamat.
“Bagaimanapun mereka terpaksa menunggu selama kira-kira setengah jam sebelum dapat dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya.
Difahamkan, seorang daripada lelaki berkenaan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), namun dilaporkan dalam keadaan stabil, manakala seorang lagi mengalami luka di badan dan menerima rawatan di wad biasa HUS.
Sumber: hmetro.com.my/myMetro/articles/Ditindihtayarmasihhidup/Article/index_html
theborneopost.com/2011/12/19/parit-berlumpur-selamatkan-dua-pemuda-daripada-maut
Subscribe to:
Posts (Atom)