Inalillahi wainailaihi rojiun
PEKAN: Perjalanan dua sepupu pulang ke kampung halaman menyambut Aidiladha, esok, berakhir dengan tragedi apabila seorang terkorban selepas motosikal ditungganginya merempuh seekor lembu di Kilometer 26, Jalan Pekan-Nenasi di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, Mohd Azizul Kamarudin, 21, dari Kampung Raja, Kuala Terengganu, parah di kepala maut di tempat kejadian.
Sebelum kejadian, mangsa yang baru sehari bekerja di Johor Bahru mengekori motosikal ditunggang sepupunya, Muhammad Hizrie Min, 23, dalam perjalanan menghala ke Kuala Terengganu dari Johor Bahru.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, sebaik tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai tidak sempat mengelak seekor lembu melintas jalan.
“Akibat rempuhan itu, mangsa terjatuh di permukaan jalan dan mengalami kecederaan di kepala. Sepupu mangsa yang berada di depan menyedari kejadian itu dan berpatah semula untuk memberi bantuan namun mangsa didapati sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Pekan (HP) untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarganya, kira-kira jam 12 tengah, malam kelmarin.
“Siasatan awal mendapati permukaan jalan ketika kejadian kering serta cuaca baik namun kawasan berlakunya insiden itu gelap kerana tiada lampu jalan,” kata Yahaya.
Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: myMetro
loading...
Saturday, November 5, 2011
Thursday, November 3, 2011
Bertembung Lori Ketika Memotong
Inalillahi wainailaihi rojiun
ALOR GAJAH – Gara-gara memotong beberapa kenderaan untuk berlumba, seorang lelaki maut apabila kereta jenis Wira Aeroback yang dipandu bertembung sebuah lori tiga tan muatan sawit di Jalan Kampung Pematang Darat, berhampiran simpang tiga masuk ke Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Zaini Mohd Zaid, 37, yang berasal dari Telok Kemang Port Dickson memandu dari arah Kuala Linggi menghala ke Kuala Sungai Baru hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan lain dan bertembung dengan lori terbabit yang dipandu seorang lelaki Cina.
Pemandu lori, Gan Siang Cheng, 41, dari arah Paya Lebar menuju ke kilang sawit Sri Lingga, Kuala Linggi, berkata, dia mencuba mengelak ke kiri jalan, namun kereta terbabit dipandu laju merempuh bahagian hadapan lorinya.
“Sebaik melalui selekoh, kereta yang sudah hilang kawalan itu tiba-tiba muncul sebelum terbabas dan berpusing di laluan saya,” katanya.
Menurut Gan yang memandu berseorangan, dia tidak sempat membunyikan hon atau memberi isyarat lampu tinggi kerana kereta terbabit sudah hilang kawalan dan dia hanya mampu mengelak sebelum terbabas ke bahu jalan.
Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, terdapat kereta di hadapan lori sawit terbabit yang mahu memasuki simpang kanan sebelum kemalangan itu berlaku.
“Kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila saya lihat lori yang dipandu bergegar kuat terus di bahu kiri jalan sebelum saya menyedari kereta mangsa sudah terbabas di jalan asalnya,” katanya.
Seorang lagi saksi, Azmi Harun, 47, yang memandu tidak jauh dari kereta mangsa mendakwa, kereta tersebut ada memotong keretanya dan dilihat seperti sedang berlumba dengan kereta lain.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, R Bajiyen, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa yang tidak tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan dengan mudah tanpa memerlukan pemotongan pada bahagian kereta.
Operasi tersebut diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zainuddin Joned bersama sembilan anggota lain dengan kekuatan satu jentera dan sebuah pacuan empat roda berjaya mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia kurang dari tiga minit.
“Disebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, orang awam tidak berani menyentuh atau mengeluarkan mangsa sehingga anggota bomba tiba dan seterusnya dihantar ke Hospital Melaka menggunakan kenderaan polis,” katanya.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharudin, mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sementara pemandu lori yang mengalami cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Posts (Atom)