loading...
Sunday, October 16, 2011
Diseret Lori 10 Meter
Inalillahi wainailaihi rojiun
LEDANG: Seorang lelaki maut di tempat kejadian manakala motosikalnya remuk teruk dipercayai selepas bertembung dengan sebuah lori di Sengkang Batu 19 Bukit Gambir, malam kelmarin.
Shaidan Abdul Rahman, 33, yang dirempuh dari arah bertentangan dan diseret sejauh 10 meter, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.
Difahamkan, ketika kejadian jam 9 malam, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Seri Paya, Sengkang Batu 20, selepas bertemu rakannya di Pasar Malam Serom 3.
Rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Adi, 30-an, berkata dia tidak menyangka kehadiran Shaidan ke gerai murtabaknya malam kelmarin adalah pertemuan terakhir mereka.
Kata Adi, ketika kali terakhir bertemu, arwah tak menunjukkan tingkah laku pelik, malah ramah seperti biasa.
“Arwah singgah di gerai murtabak saya setiap minggu. Sebelum dia pulang, saya mengirimkan murtabak buat ibunya memandangkan kami tinggal sekampung. Namun, tidak lama kemudian, saya dimaklumkan dia terbabit dalam kemalangan dengan jarak hanya 1.4 Kilometer dari rumahnya,” katanya.
Adi yang menyangkakan sahabatnya cedera ringan terkejut sebaik tiba di tempat kejadian apabila mendapati Shaidan meninggal dunia.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
“Mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematiannya.
Berikutan itu, sesiapa yang ada maklumat diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.
Al-Fatihah
Sumber: myMetro
Saturday, October 15, 2011
Tak Sempat Solat Jumaat
KOTA BHARU - Hajat dua beradik untuk menunaikan solat Jumaat di masjid Kampung Baung, dekat sini, tidak kesampaian apabila keduanya parah dalam kemalangan petang semalam.
Kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.20 petang itu menyebabkan motosikal yang ditunggang Ridzuan Shamsudin, 29, gagal dikawal apabila tayar bahagian belakang motosikal lasak jenis Demak itu pecah dan menyebabkan adiknya, Hafiz Shamsudin, 23, turut parah dalam kejadian itu.
Dipercayai kedua-dua mangsa tercampak di bahagian pembahagi jalan yang menyebabkan Hafiz cedera parah di bahagian kepala manakala Ridzuan cedera di bahagian tangan dan kaki.
Menurut isteri Ridzuan, Azrin Adrina Mohd Zawawi, 18, dia menerima panggilan kira-kira jam 1.30 petang daripada suaminya mengatakan mereka berdua terlibat dalam kemalangan.
“Suaranya perlahan tetapi sempat berpesan kepada saya untuk menyuruh ayah Mohd Zawawi Daud, 57, meminta bantuan ambulans.
“Tidak sampai beberapa minit, dia terus matikan panggilan dan saya cuba telefon ayah tetapi tidak berjawab kerana dia sedang menunaikan solat Jumaat,” katanya.
Sementara itu, menurut ibu mangsa, Fatimah Ismail, 58, dia hanya menerima berita anak ketiga dan keempat daripada lima beradik itu terlibat kemalangan melalui seorang ahli keluarganya.
“Terkejut menerima berita mengenai kemalangan itu, kerana sebelum kejadian mereka ada berborak di luar berbincang mengenai perlawanan bola sepak malam ini (semalam) antara Kelantan dan Terengganu.
“Semasa mereka berada di ruang tamu makcik sedang memasak di dapur tetapi selepas keluar makcik lihat keduanya tiada di ruang tamu dan anak bongsu makcik mengatakan mereka sudah pun keluar untuk ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat,” katanya.
Fatimah berkata, motosikal yang ditunggang Ridzuan merupakan pemberian bapa mertuanya.
Pemberian itu digunakan sebagai kenderaan untuk memudahkan dia menjalankan urusan perniagaan katering yang diusahakan sejak sekian lama.
“Dia baru tiga bulan mendapat motosikal itu daripada bapa mertuanya dan pada hari kejadian (semalam) dia pulang ke rumah menziarahi saya dan adik beradiknya yang lain kerana dia kini menetap di Wakaf Baru, Tumpat bersama isterinya.
“Setakat ini (semalam) Hafiz belum sedarkan diri manakala Ridzuan masih boleh bercakap tetapi dalam keadaan lemah,” katanya ketika ditemui di wad kecemasan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Posts (Atom)