loading...
Saturday, October 8, 2011
Pelatih Akademi Bomba & Penyelamat Maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
HULU TERENGGANU 7 Okt. - Seorang pelatih yang sedang menjalani latihan di Akademi Bomba dan Penyelamat, Wakaf Tapai, maut dalam kemalangan di Kilometer 396.3. Lebuh Raya Pantai Timur (LPT), di Kampung Kua, Ajil di sini, malam tadi.
Nur Farhana Mohd. Mahat, 26, dari Tangkak Johor, terbunuh apabila van yang dinaikinya bersama tiga lagi anggota bomba di akademi berkenaan terbabas sebelum terbalik.
Ketika kejadian, ibu kepada dua anak itu yang menjalani latihan di akademi tersebut sejak 5 September lalu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di berek Bomba, Tangkak, Johor, selepas mengadu tidak sihat.
Mangsa dibenarkan pulang berehat oleh pihak pengurusan akademi itu selepas beberapa hari dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.
Nur Farhana diiringi tiga anggota lain iaitu, pemandu van terbabit, Firdaus Ahmad, 26, Wan Siti Suzana Yusof, 27, dan Shahidan A. Razak, 23, dan mereka cuma mengalami kecederaan ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
Mangsa yang mengalami kecederaan dalaman dikejarkan ke Hospital Dungun sebelum meninggal dunia pukul 9.45 malam ketika dalam perjalanan ke Hospital Kuala Terengganu untuk menerima rawatan lanjut.
Jenazah mangsa dihantar ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan turut hadir menziarahi jenazah mangsa ialah Komandan Akademi Bomba Wakaf Tapai, Norazam Khamis.
Jenazah Nur Farhana dibawa ke Akademi Bomba Wakaf Tapai untuk dimandi dan dikafankan sebelum diterbangkan menggunakan Helikopter Bomba, pagi ini ke kampung asalnya untuk dikebumikan.
Ibu mertua mangsa, Khatijah Mat Senin, 54, yang berasal dari Kampung Cabang, Kerteh, Dungun, ketika ditemui memberitahu, menantunya itu memperoleh dua cahaya mata hasil perkahwinan dengan anaknya yang juga merupakan seorang anggota bomba.
Katanya, anaknya itu bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Tangkak, Johor, dan mereka sekeluarga gembira selepas arwah terpilih menyertai pasukan dan menjalani latihan di akademi itu... Al-Fatihah
Sumber: Utusan Malaysia
Kedai Makan Dirempuh Kren
MELAKA 7 Okt. - Seorang peniaga kedai makan terkejut apabila tiba-tiba sebuah kren seberat kira-kira 24 tan terbabas sehingga hampir merempuh kedainya itu di simpang empat Jalan Bachang-Batu Berendam di sini semalam.
Difahamkan, kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang itu berpunca apabila pemandu kren cuba mengelak terlanggar sebuah motosikal.
Peniaga tersebut, Lee Chong Seng, 35, berkata, dia terkejut apabila mendengar suara orang menjerit dan pada masa sama melihat sebuah kren terbabas dan menuju ke arah kedainya itu.
"Kejadian berlaku begitu pantas tetapi mujurlah saya bersama tiga pelanggan melompat keluar dari kedai sebelum kren terbabas di kaki lima.
"Mujurlah ketika kejadian saya sudah mahu menutup kedai dan pelanggan tidak ramai, kalau tidak, tak tahulah apa nasib saya," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hanya bahagian lantai simen kaki lima kedai pecah dan berlubang apabila tayar kren terperosok di situ.
Kemalangan itu juga mengakibatkan kesesakan teruk dari arah Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Ayer Keroh dan Bachang.
Sebuah kren lain pula terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk mengalihkan kren berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd. Rahman ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu.
Sumber: Utusan Malaysia
Subscribe to:
Posts (Atom)