loading...
Saturday, August 6, 2011
Jurutera Maut Rempuh Bas
KUALA LUMPUR 6 Ogos - Tindakan dua lelaki yang menaiki sebuah kereta memaksa seorang pemandu bas ekspres berhenti di lorong kecemasan lebuh raya awal pagi ini mengundang padah apabila bas itu dirempuh oleh sebuah kereta lain mengakibatkan pemandunya terbunuh.
Kejadian pukul 1.30 pagi di Kilometer 297.1, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Bangi itu berlaku ketika bas tersebut dalam perjalanan dari Manjung, Perak ke Johor Bahru, Johor.
Bas itu kemudian dipintas dan diarah berhenti oleh kereta yang dinaiki oleh dua lelaki terbabit yang mendakwa kenderaan mereka telah bergesel dengan bas tersebut sebelum itu.
Sebaik sahaja bas tersebut berhenti, dua lelaki itu turun untuk memeriksa sisi kanan belakang kenderaan tersebut bagi mencari kesan geselan seperti didakwa mereka.
Tidak lama kemudian, sebuah kereta Perodua MyVi yang dipandu oleh seorang jurutera penyelenggara, Yoong Hou Chin, 36, gagal mengelak daripada merempuh belakang bas yang sedang berhenti itu sebelum kenderaannya terbabas dan melintang di tengah lebuh raya.
Difahamkan, salah seorang lelaki yang meminta bas ekspres berhenti sebelum itu turut mengalami kecederaan akibat rempuhan tersebut, tetapi dia bersama rakannya bertindak melarikan diri selepas kemalangan itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, kemalangan itu menyebabkan Hou Chin yang bekerja sebagai jurutera penyelenggara di syarikat Numec Engineering, Jalan Klang Lama mati di tempat kejadian akibat cedera parah.
"Semasa kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke Seremban, Negeri Sembilan dari ibu negara, manakala bas ekspres membawa 17 penumpang dari Manjung menghala ke Johor.
"Bagaimanapun, semua penumpang bas itu tidak mengalami kecederaan dan meneruskan perjalanan dengan menaiki bas lain," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Difahamkan, salah seorang daripada penumpang bas berkenaan adalah pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang menjalankan tugas pemantauan terhadap pemandu bas ekspres dengan menyamar sebagai penumpang.
Abd. Rashid berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Utusan Malaysia
Penumpang Maut
Seorang remaja lelaki yang juga penumpang di bahagian belakang maut apabila kereta Proton Iswara yang dinaikinya bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan di Kilometer 17 Jalan Tampin-Kuala Pilah kira-kira jam 4.35 petang, kelmarin.
Manakala pemandu dan dua lagi penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk mendapat rawatan.
Pemandu lori, Osman Karim, 50, berkata, ketika tiba di selekoh Kampung Tering, dia sempat menekan brek lorinya, namun tetap melanggar dengan kereta itu yang melintang di tengah jalan.
Menurutnya, dia dari bengkel yang terletak di Renggoh untuk ke Kuala Pilah. Walau bagaimanapun, ketika tiba di selekoh itu, dia nampak kereta itu hilang kawalan dan masuk arah bertentangan.
“Saya cuba mengelak tetapi tidak berjaya lalu terlanggar bahagian sisi kiri belakang kereta berkenaan.
“Saya percaya, seorang penumpang bahagian belakang kanan tercampak ke dalam semak, manakala seorang lagi terperosok di kerusi belakang. Pemandu cedera parah dan seorang perempuan yang berada di kerusi hadapan cedera,” katanya.
Katanya, dia dan dua kelindan hanya mengalami cedera ringan.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintendan Jaafar Baba berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara dari arah Kuala Pilah menghala ke arah Tampin hilang kawalan semasa melalui selekoh.
Menurutnya, selepas itu, kereta berkenaan terbabas ke kanan dan berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Pada masa sama, lori yang datang dari arah Tampin menghala ke Kuala Pilah tidak sempat mengelak lalu terlanggar kereta mangsa. Akibat rempuhan itu, kereta berkenaan terbabas ke dalam semak dan remuk di bahagian sebelah kiri.
“Mangsa yang meninggal dunia dikenali Abdullah Hinmi Md Hashim, 17, beralamat Kuala Sungai Tebong Melaka kerana mengalami cedera di bahagian kepala dan badan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Posts (Atom)